Skip to main
Logo Malaysiakini

KSM bincang dengan KDN isu pengawal keselamatan tak dicarum Perkeso

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima banyak aduan mengenai majikan yang culas membayar caruman pekerja dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), khususnya yang melibatkan pekerja dalam sektor kawalan keselamatan.

Menterinya Datuk Seri M Saravanan berkata sehubungan itu KSM akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri bagi menampilkan langkah lebih berkesan dalam menangani perkara itu.

“Ini satu sektor yang sepatutnya ada jaringan keselamatan, sebab mereka adalah pengawal yang menjaga keselamatan… tanggungjawab (besar) mengawal keselamatan tapi nasib tidak dibela oleh majikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tiga beradik yang kehilangan ibu bapa mereka di Taman Sentosa, dekat Klang, hari ini.

Terdahulu pihak kementerian menerusi PERKESO menyantuni tiga beradik S. Mahalatchumy, 19; dan S. Muthukumaran, 17, dan S. Kastury, 16, yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa beberapa bulan lepas.

Bapa mereka, K.Selvam, 53, meninggal dunia akibat serangan jantung pada bulan April, manakala ibu mereka S.Chandrakala meninggal dunia pada 21 Ogos akibat COVID-19; namun hanya Chandrakala sahaja yang layak menerima faedah PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, berdasarkan semakan PERKESO.

Keluarga ini mendapat bantuan sekali bayar Faedah Pengurusan Mayat (FPM) RM2,000 dan Pencen Penakat RM1,003.20 sebulan yang akan dibayar sehingga tiga beradik itu mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian di institusi pengajian tinggi. 

- Bernama