Skip to main
Logo Malaysiakini

M'sia akan terus bantah penindasan hak asasi manusia - Saifuddin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malaysia akan membantah sekeras-kerasnya penindasan hak asasi manusia yang dilakukan secara sistematik terhadap rakyat Palestin dan Rohingya di Myanmar selain bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi membangunkan semula Afghanistan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia pada Khamis dipilih menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia (Majilis Ham) bagi penggal 2022-2024 semasa pengundian sempena sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Katanya, pemilihan ke Majilis Ham ini merupakan bukti pengiktirafan terhadap negara apabila berjaya mendapat 183 undi.

Beliau berkata, Malaysia sebelum ini sudah menjadi anggota Majilis Ham sebanyak dua kali iaitu untuk penggal 2006-2009 dan 2010-2013, menyaksikan negara melaksanakan tanggungjawab secara konstruktif dengan semua pemegang taruh menerusi pendekatan yang seimbang serta tidak memihak kepada mana-mana unsur politik dalam menangani hak asasi manusia.

Saifuddin berkata, sebagai ahli Majlis, Malaysia akan memperjuangkan hak golongan rentan terutama kanak-kanak, wanita, orang asli dan warga emas.

“Malaysia bercadang untuk memperkasa golongan belia terutama dalam proses membuat keputusan di semua peringkat serta akan turut mengutamakan akses terhadap persekitaran yang selamat, bersih, sihat dan lestari sebagai hak asasi manusia yang perlu dilindungi dan dipromosikan,” katanya.

Saifuddin menambah, Malaysia percaya peranan Majilis Ham akan menjadi semakin penting, terutama ketika dunia kini sedang kembali pulih daripada wabak Covid-19, bagi memastikan hak asasi manusia terus diketengahkan.

Sehubungan itu Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam Majilis Ham serta proses-proses yang berkaitan dalam mencari persefahaman dan dapat bangkit secara aman untuk menjadi lebih kuat daripada sebelumnya serta memastikan tiada negara keciciran, katanya.

Malaysia akan mengambil peuang keanggotaan Majilis Ham kali ini untuk memberi penekanan kepada kepentingan dalam memupuk semangat bekerjasama, keterlibatan yang membina dan menyeluruh, telus, saling hidup secara aman dan menghormati antara satu sama lain.

“Sebagai masyarakat demokrasi yang berbilang etnik, berbilang budaya, kita percaya Malaysia akan mampu berkongsi nilai kebersamaan, keterbukaan dan saling memahami seperti yang tergambar menerusi konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Majilis Ham adalah badan yang mempunyai 47 anggota dalam sistem PBB, bertanggungjawab dalam mempromosi dan melindungi hak asasi secara menyeluruh. Ia memainkan peranan dalam mempertimbangkan semua isu tematik mengenai hak asasi manusia, kes pencabulan hak asasi manusia dan perkara lain yang memerlukan perhatian badan ini.

“Berhubung Afghanistan, penasihat khas saya, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman akan memulakan siri lawatan ke negara-negara yang mempunyai hubungan rapat dengan pentadbiran di Kabul, iaitu Turki, Qatar dan Pakistan, bagi membincangkan lebih banyak bantuan kemanusiaan.

“Kami juga akan memberikan bantuan kepada mana-mana NGO yang mahu menghulurkan khidmat dan bantuan kepada negara itu,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Malaysia tidak mahu ketua junta Myanmar menghadiri Sidang Kemuncak Asean yang bakal diadakan bermula 26 hingga 28 Okt, andai tiada sebarang kemajuan dicapai berhubung Konsensus Lima Perkara.

"Saya akan menyertai mesyuarat tergempar bersama Menteri Luar Asean pada petang ini secara dalam talian, saya difahamkan Menteri Luar Myanmar juga turut serta dan perkara yang dijangka dibincangkan ialah berkaitan Konsensus Lima Perkara.

"Pendirian Malaysia adalah jelas dan saya akan ulang jika tidak ada kemajuan ketara dari segi pelaksanaan Konsensus Lima Perkara maka kita anggap Ketua Junta yang sekarang mentadbir negara itu tidak seharusnya diundang ke sidang kemuncak Asean," katanya.

- Bernama