Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengusaha pengangkutan awam mahu tanding PRU kerana tak yakin dengan menteri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tidak yakin dengan menteri pengangkutan daripada MCA dan sebelum ini DAP, beberapa persatuan pengusaha pengangkutan awam darat memutuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden Gabungan Teksi Malaysia Kamaruddin Mohd Hussain berkata bahawa mereka mengambil keputusan sedemikian setelah mendakwa bahawa penyandang menteri pengangkutan Wee Ka Siong dan mantannya, Anthony Loke gagal menyelesaikan isu yang dihadapi pengusaha-pengusaha pengangkutan awam darat.

"Kami terpaksa membuat keputusan bertanding kerana kami telah hilang kepercayaan kepada semua Menteri Pengangkutan yang berasal daripada MCA dan DAP.

"Sejarah telah membuktikan semua menteri pengangkutan yang berada dari kedua-dua parti berkenaan tidak mempunyai hati apatah lagi nilai insan untuk menyelesaikan segala masalah yang kami hadapi sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, melainkan hanya menjaga kepentingan kroni-kroni mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Kamaruddin berkata bahawa persatuan teksi, bas, lori, E-hailing dan P-hailing mengadakan perjumpaan pada 30 September yang lalu.

"Perjumpaan itu telah mencapai kata putus di mana pada PRU akan datang, kita dari sektor perkhidmatan dan pengangkutan darat negara akan bertanding.

"Walaupun, kami mempunyai fahaman politik yang berbeza-beza, namun demi perjuangan memartabatkan hak dan periuk nasi kami, kami terpaksa mengenepikan faham politik kami dan fokus kepada perjuangan," katanya.

Tambahnya, mereka bercadang untuk bertanding di empat parlimen dan 14 DUN pada pemilihan akan datang.

"Pada 2 Feb 2022, kami akan adakan satu perjumpaan pemain industri perkhidmatan dan pengangkutan darat negara secara besar-besaran di stadium yang akan melibatkan semua industri teksi, kereta sewa, bas, lori, E-hailing dan P-hailing.

"Kami akan memanggil semua presiden parti untuk menyerahkan memorandum kami. Dan salah satu tuntutan kami adalah bertanding di empat parlimen dan 14 DUN.

"Kami yakin jika semua pemain industri perkhidmatan dan pengangkutan darat negara dapat bersatu hati, kami akan berjaya memecahkan perbuatan monopoly Kementerian Pengangkutan oleh kedua-dua parti berkenaan dan seterusnya menyelesaikan segala masalah yang selama ini sengaja diwujudkan bagi mengaut keuntungan," katanya.