Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS nafi abaikan isu Adib selepas jadi kerajaan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PAS menafikan parti itu mengabaikan isu kematian Muhammad Adib Mohd Kassim sejak menjadi kerajaan, malah mengikuti "dengan rapat" perkembangannya.

Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin berkata pelbagai tindakan juga diambil oleh parti berkenaan untuk menjaga kebajikan keluarga bekas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berkenaan.

“Mereka yang cakap PAS senyap mengenai isu Adib (sebenarnya) tak mengikuti perkembangan kami secara dekat. 

"Boleh rujuk tindakan yang kami lakukan melalui laman web dan Instagram Pemuda PAS," katanya yang dipetik portal berita rasmi parti itu, harakahdaily hari ini.

Selain itu Khairil Nizam juga menjelaskan PAS tidak boleh mencampuri urusan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa negara dan negara ini mempunyai undang-undangnya sendiri.

Dia yang juga menjadi ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata negara ini mengamalkan pemisahan kuasa di antara badan legislatif dan eksekutif.

“Apa pasal PAS nak masuk campur dalam hal rule of law (kedaulatan undang-undang)? Ia di bawah tanggungjawab pihak berkuasa.

“Kita ada separation of power (pemisahan kuasa). Apabila kita dah jadi kerajaan, kita nak masuk campur, mana boleh, tak adil," katanya lagi.

Serah kepada pihak berkuasa

Muhammad Adib merupakan anggota bomba dan penyelamat yang meninggal dunia pada 17 Dis 2018 selepas mengalami kecederaan parah ketika bertugas di Subang Jaya beberapa hari sebelumnya.

Kematian pemuda kelahiran Kodiang di Kedah itu dikaitkan dengan jenayah ekoran rusuhan yang berlaku di sebuah kuil di Seafield. 

Inkues yang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian Muhammad Adib memutuskan dia meninggal dunia akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Bagaimanapun sehingga kini tiada mana-mana pihak atau individu didakwa atas tuduhan membunuh Muhammad Adib.

Sewaktu menjadi pembangkang PAS bersama beberapa pihak lain meletakkan kesalahan atas kematian anggota bomba itu kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH). Untuk rekod ketika itu jawatan Menteri Dalam Negeri - iaitu kementerian yang bertanggungjawab ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia - disandang Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Kata Khairil Nizam PAS tidak boleh mencampuri urusan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa namun amat menyokong keputusan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat kes berkenaan.

Jawatankuasa khas itu diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Okt lalu dan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ia turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican; serta Peguam Negara, Idrus Harun. 

Menurut Khairil Nizam, PAS sebaliknya terus menjaga kebajikan keluarga allahyarham Muhamamd Adib dan menyerahkan isu keadilan kepada pihak yang berkuasa.