Skip to main
Logo Malaysiakini

Firma logistik bayar pemandu lori tunggakan caruman KWSP RM2.6 juta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Syarikat logistik Hong Heng Transport & Trading Sdn Bhd setuju membayar tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM2.6 juta kepada 268 pemandu lori.

Ini sebahagian daripada penghakiman persetujuan yang direkodkan di Mahkamah Tinggi Ipoh semalam, untuk menyelesaikan tindakan sivil empat tahun oleh KWSP terhadap syarikat tersebut.

Menurut laporan Sosialis.net, syarikat itu bersetuju membayar tunggakan KWSP untuk 268 pemandu lori bagi tempoh enam tahun dari 2011 hingga 2017, berjumlah RM2,638,595.

Portal dalam talian itu melaporkan pecahan pembayaran sebagai RM1,227,024 untuk caruman pekerja dan RM1,411,571 untuk caruman majikan yang akan dibayar oleh majikan ke dalam akaun KWSP pekerja secara berperingkat selama 48 bulan, dari 31 Oktober tahun ini hingga 30 September 2025.

Laporan itu juga berkata sebahagian daripada penyelesaian itu, Hong Heng Transport & Trading juga bersetuju untuk menarik tuntutan pihak ketiga terhadap 268 pemandu lori untuk masing-masing membayar caruman pekerja mereka sendiri (sekiranya syarikat itu kalah saman terhadapnya oleh KWSP).

"Penghakiman persetujuan ini ialah satu kemenangan kepada perjuangan Gabungan Pemandu Lori (GPL). GPL yang ditubuhkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah membuat aduan mengenai kes kegagalan majikan membuat caruman mengikut Akta KWSP ini pada bulan Januari 2017.

"Aduan GPL telah mencetuskan tindakan mahkamah daripada KWSP terhadap syarikat Hong Heng Transport pada bulan November 2018.

"Selepas berlarutan hampir empat tahun sejak aduan dibuat, termasuk berdepan dengan tindakan pihak syarikat yang mengheret pekerja ke mahkamah untuk memaksa pekerja membayar untuk kesalahan majikan itu sendiri, akhirnya pihak majikan terpaksa akur juga dan pemandu-pemandu lori yang berkenaan mendapat satu keadilan," lapor portal itu.

Pemandu lori tersebut diwakili oleh peguam Bawani KS, yang juga setiausaha agung PSM.

Pada Januari 2017, GPL yang mewakili pemandu lori yang bekerja untuk Hong Heng Transport & Trading, membuat aduan di ibu pejabat KWSP di Kuala Lumpur mendakwa majikan gagal membuat caruman KWSP selaras dengan Akta KWSP.

Susulan siasatan, KWSP kemudian memfailkan tindakan sivil di mahkamah terhadap syarikat itu pada November 2018.