Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Parti baru mesti buktikan mereka bukan pak turut

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Parti Kuasa Rakyat yang baru ditubuhkan oleh Kamarazaman Yaakob kononnya berhasrat mahu membantu golongan miskin tanpa mengira kaum dan bangsa.

Apakah semangat marhaen itu haya digunakan untuk menarik minat sahaja?

Menubuhkan sebuah parti politik itu perlu ada agenda, visi dan misi yang jelas. Tanpa elemen-elemen ini, apakah nilai unik yang membezakan parti yang baru didaftarkan itu dengan parti-parti politik yang sedia ada di dalam kancah politik negara?

Baru-baru ini, masyarakat seantero dunia digemparkan dengan pendedahan berkenaan akaun-akaun luar persisir yang dimiliki oleh orang kaya dari pelbagai negara.

Orang ternama di Malaysia juga ada tersenarai dalam pendedahan tersebut.

Pendedahan Kertas Pandora itu bukanlah pendedahan yang biasa-biasa. Isu ini telah banyak kali diutarakan di Dewan Rakyat oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Dia mendesak agar isu ini dibincangkan di parlimen atas dasar kemungkinan berlaku pemindahan wang haram dalam negara. Malangnya, usul Anwar ditolak dengan bermacam-macam alasan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, juga menegaskan pentingnya isu itu dibahaskan di Parlimen. Isu pengaliran wang ke akaun luar persisir ini jelas merugikan negara.

Tanpa siasatan daripada pihak berwajib, perang melawan rasuah dari peringkat akar umbi akan menjadi lebih susah.

Persoalan di sini ialah, apakah pendirian Parti Kuasa Rakyat berkenaan isu yang dibincangkan sekarang? Pengaliran wang ke akaun luar bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng.

Tatkala ekonomi negara sedang bergelut dan ramai orang hilang mata pencarian, individu kaya-raya tertentu di Malaysia menyimpan wang dan aset mereka yang bernilai jutaan malah berbilion ringgit di akaun-akaun luar pesisir.

Sudah tiba masanya untuk pemimpin Parti Kuasa Rakyat mengkritik dengan lantang perbezaan kelas yang berlaku secara terang-terangan dan mengecam individu yang menindas orang miskin.

Buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa pengalaman-pengalaman Kamarazaman ditahan kerana memperjuangkan hak rakyat suatu ketika dulu bukanlah usaha sia-sia.

Beranikan diri mengkritik perbuatan salah kerajaan dan jangan jadikan parti baru itu sebuah organisasi pak turut!


LIM LIP ENG ialah ahli parlimen Kepong.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.