Teo gesa KPM cari dalang mainkan video seks kepada pelajar
Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyiasat bagaimana ada video seks yang ditayangkan kepada sekumpulan pelajar sekolah menengah semasa kelas pembelajaran secara maya boleh terjadi.
Kejadian itu dikatakan terjadi menerusi aplikasi persidangan video Google Meet pada Khamis lalu.
Menyifatkan kejadian sebegitu tidak harus terjadi, Teo berkata KPM mesti mengambil pendekatan yang diperlukan bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara semasa kelas dalam talian.
“Kami dimaklumkan bahawa insiden itu mungkin dilakukan oleh orang luar yang mendapat pautan (untuk kelas maya) dan dengan itu, masuk ke kelas untuk berkongsi kandungan-kandungan yang tidak wajar.
“KPM harus menggunakan semua sumber dan kepakaran yang ada di kementerian itu untuk memastikan keselamatan pelajar dalam kelas maya dan mengusahakan kaedah yang dapat memastikan kandungan yang dikongsi di platform Google Meet selamat, selain membangunkan SOP atau garis panduan yang dapat membantu melindungi platform maya itu daripada dicerobohi atau digodam.
“Saya menggesa menteri pendidikan untuk menyiasat perkara itu, sentiasa berkomunikasi berkenaan perkembangan penyiasatan itu dengan orang awam, terutama ibu bapa yang terlibat dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kelas maya kekal menjadi platform selamat buat pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Free Malaysia Today melaporkan tentang ada video seks dimainkan kepada sekumpulan pelajar tingkatan dua yang sedang menduduki peperiksaan dalam talian.
Lapor portal itu, insiden berkenaan memaksa guru untuk menamatkan persidangan video berkenaan dan menukar kaedah peperiksaan menggunakan borang dalam talian.
Ibu bapa dan guru dilaporkan bingung berkenaan siapakah yang bertanggungjawab memainkan video lucah berkenaan kepada pelajar, tetapi menurut portal itu lagi, guru sekolah kemudian memaklumkan kepada pelajar untuk tidak berkongsi pautan pertemuan maya mereka kepada orang luar.
Teo yang juga bekas timbalan menteri pendidikan turut menyuarakan rasa kecewanya terhadap insiden itu dan ia tidak seharusnya dibiarkan terjadi, lebih-lebih lagi sekolah telah menjalankan kelas maya hampir dua tahun sejak wabak Covid-19 melanda negara.
“Saya menggesa KPM untuk melihat kejadian ini sebagai satu perkara yang serius dan menanganinya secara profesional tanpa berselindung.
"Hidup dalam wabak ini memberikan gambaran tentang masa depan yang sangat bergantung pada kelas dalam talian menggunakan platform seperti Google Meet. Kemungkinan insiden sama berulang adalah tinggi.
“Berkongsi video lucah kepada kanak-kanak juga boleh menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan kita tidak boleh memandang remeh akan isu ini,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai