KJ patut galak vaksinasi melalui kesedaran bukan 'paksaan' - MP
Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus menyelar kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang berkata kerajaan akan 'menyusahkan' individu yang terus enggan divaksin tanpa sebab dibenarkan.
Hasanuddin berkata ini kerana kerajaan belum membuat keputusan untuk mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 seperti yang dimaklumkan pada Julai lalu.
Sebaliknya, Hasanuddin berkata sebagai menteri dan seorang pembuat dasar adalah wajar untuk Khairy mententeramkan mereka yang belum divaksin agar diurus dengan bijak dan diperlakukan secara profesional.
"Selaku salah seorang pembuat dasar di parlimen, dalam perbahasan RMK12, saya telah mendesak kerajaan melalui pelbagai kementerian terutamanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tampil ke hadapan meningkatkan kempen kesedaran pengambilan vaksin kepada orang ramai.
"Kerajaan juga wajar mententeramkan mereka yang belum divaksin, sama ada mereka yang enggan atau tidak layak divaksin agar diurus dengan bijak dan diperlakukan secara profesional," kata Hasanuddin dalam satu kenyataan.
Hasanuddin berkata demikian mengulas kenyataan Khairy semalam.
Khairy semalam dilaporkan berkata kerajaan mungkin tidak akan mewajibkan vaksinasi Covid-19, tetapi mereka yang menolak untuk divaksinasi akan berdepan dengan kehidupan yang sukar.
Menurut Khairy, kerajaan mungkin tidak akan melaksanakan satu undang-undang persekutuan iaitu mewajibkan di peringkat negara tetapi dia menggalakkan adalah undang-undang sektoral.
“Mungkin berbunyi sedikit kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak menerima vaksin.
"Ini adalah kerana mereka sendiri memilih untuk tidak menerima vaksin melainkan mereka tidak boleh menerima vaksin atas faktor kesihatan dan dikecualikan juga dalam sistem MySejahtera tetapi jika sebaliknya, maka memang kami akan susahkan hidup anda,” katanya.
Khairy juga menegaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemungkinan akan mewajibkan mereka yang menolak atau melengahkan penerimaan vaksin untuk menjalani ujian calit Covid-19 secara mingguan.
Katanya, kos tersebut tidak akan ditanggung oleh kerajaan.
Bukan sekadar marah-marah
Mengulas lanjut, Hasanuddin menegaskan tindakan membiarkan kumpulan antivaksin merasa didiskriminasikan hanya akan membuat suasana “panas dan tegang” dalam masayarakat.
"Kita masih perlukan sebuah kerajaan yang bijak mengurus negara ketika konflik melanda, bukan sekadar marah-marah dengan penuh emosi.
"Walau apa pun proses vaksinasi tetap perlu diteruskan demi kepentingan orang ramai," tambahnya.
Kerajaan belum mewajibkan vaksinasi Covid-19 secara menyeluruh, tetapi telah mewajibkannya untuk sektor-sektor tertentu.
Ini termasuklah kakitangan perkhidmatan awam yang menolak tanpa sebarang sebab perubatan boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Bagaimanapun, mereka yang tidak mendapatkan vaksin Covid-19 atas alasan perubatan yang sah, akan dikeluarkan sijil pengecualian.
Kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang telah mencapai 90 peratus membolehkan kelonggaran SOP dan pembukaan sektor tertentu di seluruh negara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai