PGA7 rekod rampasan lebih RM6.3 juta dalam sebulan
Dalam tempoh sebulan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merekodkan nilai rampasan lebih RM6.3 juta membabitkan 132 kes penyeludupan menerusi Ops Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand.
Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata antara kes direkodkan membabitkan rampasan seperti dadah, daun ketum, hidupan liar, barangan kontraban, haiwan ternakan, pendatang asing tanpa izin (Pati) dan bongkah kayu sarang madu kelulut.
Menurutnya, penyeludupan barangan kontraban seperti pakaian, vape dan rokok mencatatkan kes tertinggi dengan 95 kes dengan nilai rampasan lebih RM5juta.
"Hasil kesemua rampasan ini juga, pihak kami menangkap 113 orang suspek terdiri daripada warga Thailand, Myanmar, Bangladesh dan juga warga tempatan yang bertindak berani melakukan jenayah rentas sempadan.
"Dalam tempoh masa penugasan ini, PGA7 lebih memberikan tumpuan kepada rondaan bermotorsikal dan juga berkereta, selain bantuan daripada Unit Dron juga digunakan untuk mengumpul maklumat risikan.
"Sepanjang tempoh penugasan, pihak kami terpaksa menghadapi situasi yang mencabar susulan penularan wabak Covid-19, namun semua petugas barisan hadapan sudah menerima suntikan vaksin dos lengkap yang banyak membantu dalam mengurangkan risiko tahap keberjangkitan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah Azhari berkata, semua pegawai dan anggota juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan apabila sesuatu serbuan ataupun tangkapan.
"Fokus utama kami sebagai agensi penguatkuasaan di sempadan adalah mencegah serta membenteras segala bentuk penyeludupan dan juga jenayah rentas sempadan di kawasan tanggungjawab walau dalam apa jua keadaan sekali pun.
"Pelbagai strategi dan modus operandi (MO) penyeludupan juga dikesan oleh anggota bertugas di sepanjang penugasan ini, membuktikan pihak kami tidak pernah leka untuk memastikan sempadan negara tidak dibolosi begitu sahaja.
"Kawalan ketat di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok turut menjadi faktor utama kejayaan anggota menangani kes penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai