K'jaan bertanggungjawab siasat isu Kertas Pandora, cegah salah guna kewangan luar pesisir
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kabinetnya bertanggungjawab untuk mengambil tindakan proaktif terhadap perkara-perkara yang didedahkan oleh Kertas Pandora, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Lim berkata, ikrar Ismail bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan yang berkaitan dengan Kertas Pandora menunjukkan bahawa perdana menteri tidak memahami tanggungjawabnya.
“Kenyataan Ismail menunjukkan dia tidak memahami sepenuhnya tanggungjawab sebagai perdana menteri Malaysia.
"Malaysia, bersama dengan negara-negara lain dan komuniti kewangan antarabangsa, mempunyai tanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan dunia untuk memanfaatkan pendedahan itu bagi melakukan pembaharuan terhadap sistem kerahsiaan kewangan yang meminggirkan undang-undang di Malaysia dan dunia,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Ismail telah memberikan komitmennya bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan terhadap individu yang disebut dalam Kertas Pandora.
Dia juga mengatakan pihak berkuasa bebas untuk mengambil tindakan sekiranya mereka menemui bukti kesalahan.
Sementara itu, Lim mengatakan ada sebab lain mengapa kerajaan Malaysia tidak boleh mengabaikan Kertas Pandora.
Dia menyorot bahawa Malaysia menduduki tempat ketiga di antara 147 negara untuk aliran kewangan haram, menurut laporan 10 tahun terakhir oleh badan pemikir Global Financial Integrity (GFI).
Laporan itu menyebut bahawa Malaysia mengalami kerugian antara AS$22.9 bilion (RM94.22 bilion) dan AS$33.7 bilion (RM138.55 bilion) dalam aliran keluar haram dari tahun 2006 hingga 2015, katanya.
Kedua, katanya, tidak seperti kebocoran dokumen Kertas Panama pada 2016, Malaysia secara khusus disorot dalam Kertas Pandora, khususnya dakwaan penglibatan Jho Low yang kini dalam buruan berhubung skandal 1MDB.
Kajian 2020 oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) juga melaporkan bahawa sekurang-kurangnya AS$11.3 trilion ada di akaun luar pesisir, tambahnya.
Kata Lim, sukar untuk mengetahui berapa banyak wang ini berkaitan dengan pengelakan cukai dan kesalahan lain kerana kerumitan dan kerahsiaan sistem luar pesisir.
"Kertas Pandora telah menyoroti betapa dalam rahsia kewangan menyusup politik global dan mengapa kerajaan dan organisasi global harus mencari jalan untuk mengatasi masalah penyalahgunaan kewangan luar pesisir," katanya.
Oleh yang demikian, katanya Ismail dan kabinetnya tidak hanya harus mengambil tindakan proaktif untuk menyiasat individu yang terlibat dengan kebocoran itu tetapi juga apa yang dapat dilakukan untuk menamatkan penyalahgunaan kewangan luar pesisir.
Lim juga mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk menyiasat individu terlibat dan juga mengkaji bagaimana menamatkan penyalahgunaan kewangan luar pesisir.
Dia juga mencadangkan usul untuk hari pertama persidangan parlimen baru pada 25 Oktober untuk meminda Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk membolehkan jawatankuasa pilihan parlimen mengadakan pendengaran awam.
Kertas Pandora merujuk kepada lebih daripada 11 juta dokumen dari 14 penyedia perkhidmatan yang membantu individu dan syarikat untuk menubuhkan entiti di negara yang mempunyai kadar cukai rendah atau tidak mempunyai cukai.
Pendedahan data itu diberi kepada Konsortium Jurnalis Penyiasatan Antarabangsa, yang berkongsi akses kepada sekitar 600 wartawan di seluruh dunia, termasuk Malaysiakini.
Antara individu di Malaysia yang terkenal yang disebut dalam Kertas Pandora adalah bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Menteri Kewangan semasa Tengku Zafrul Abdul Aziz, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen PKR Selayang William Leong.
Semua individu berkenaan mengatakan bahawa urus niaga mereka dengan entiti luar pesisir, termasuk memiliki atau duduk di lembaga pengarah syarikat-syarikat ini, adalah sah dan bahawa cukai telah dibayar untuk sebarang aset dan pendapatan yang berkaitan dengan syarikat luar pesisir.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai