Skip to main
Logo Malaysiakini

PSB: Usaha percepat PRN Sarawak adalah langkah nafi Undi18

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebarang percubaan untuk mempercepat PRN Sarawak akan dilihat sebagai usaha menafikan hak mengundi kepada mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun, kata Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Kenyataan itu di tengah spekulasi usaha untuk mengadakan PRN Sarawak serentak dengan PRN Malaka, yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bermula 4 Oktober lalu.

Presiden PSB Wong Soon Koh berkata PRN Sarawak telah ditangguhkan sehingga Februari 2022 berikutan pengisytiharan darurat di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, ia sebelum Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan kerajaan untuk menurunkan had layak mengundi kepada 18 tahun menjelang akhir tahun ini.

Katanya lagi, jika PRN Sarawak dipercepat sebelum tempoh itu, maka "hanya ada satu motif iaitu untuk elak Undi18".

"Menjelang 31 Disember, akan ada kumpulan besar pengundi muda yang akan membuang undi mereka.

"Darurat di Sarawak akan berakhir pada Februari 2022 dan ketika itu, blok besar pengundi baru ini akan dapat menunaikan hak perlembagaan asas mereka dalam pemilihan kerajaan negeri yang seterusnya," katanya dalam kenyataan.

Wong Soon Koh

Katanya lagi, kes baru Covid-19 di negeri itu juga lebih tinggi berbanding ketika darurat diisytiharkan.

Jika darurat dianggap wajar kerana wabak Covid-19 maka berdasarkan logik, ia lebih diperlukan sekarang berbanding sebelum ini, katanya lagi.

Justeru, dia menggesa parti dalam gabungan pemerintah untuk membantah sebarang rancangan mengadakan pilihan raya sebelum tamat tempoh darurat.

"Petugas barisan depan kita telah menderita dan keletihan. Peningkatan kes akan meletakkan beban tak tertanggung kepada mereka serta kemudahan kesihatan," katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh PRN Melaka tengah hari ini.

PRN itu dicetuskan selepas kerajaan negeri pimpinan Umno-Bersatu hilang majoriti, menyebabkan ketua menteri ketika itu, Sulaiman Md Ali memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Setakat ini belum ada tanda kerajaan persekutuan mahu mengisytiharkan darurat di negeri itu.

Penggal DUN Sarawak tamat pada 7 Jun lalu namun darurat diisytiharkan bagi menangguhkan PRN ekoran penularan wabak Covid-19.