Skip to main
Logo Malaysiakini

Arak Timah dikaitkan dengan nama anak nabi, lelaki berkopiah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengeluaran arak buatan tempatan, Timah terus mencetuskan kontroversi apabila pihak yang tidak berpuas hati menganggap jenama minuman keras itu sebagai penghinaan terhadap agama Islam.

Pihak terbabit mendakwa agama Islam dihina melalui imej pada botol arak berkenaan dan waktu ia dilancarkan.

Portal negaramerdeka.com misalnya mendakwa nama "Timah" itu mirip dengan nama puteri Nabi, Fatimah.

"Gempar!!! ‘Timah’, arak tempatan pertama dinamakan seakan nama anak Rasulullah Saw," tulis tajuknya.

Kenyataan itu turut menarik perhatian Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

"Kemunculan wiski buatan Malaysia yang bernama Timah itu sangat memalukan dan satu penghinaan kepada umat Islam apabila jenama yang ditonjolkan mengaitkan dengan nama Melayu dan Islam (Timah yang disingkatkan dari Fatimah)," kata Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Kata Mohd Azmi, gambar yang dipaparkan pada botol minuman keras itu juga biadab terhadap Agama Islam.

"Lebih biadab iklan arak itu menggunakan imej seorang yang berkopiah dengan janggut panjang seolah-olah memaparkan orang berimej agama juga mengiklankan dan mempromosi arak," katanya.

Mohd Azmi berkata demikian sebagai mengulas isu arak jenama Timah yang dikatakan produk keluaran negara ini dan telah tular di laman-laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar arak tersebut sebelum ini menjelaskan jenama Timah itu merujuk kepada bijih timah yang banyak di negara ini suatu ketika dulu.

Dalam kenyataannya, arak itu dijelaskan sebagai sejenis wiski dan gambar lelaki pada label produk tersebut ialah salah seorang individu yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British, iaitu Kapten Speedy.

"Berdasarkan kepada sejarah itu kami menggunakan nama Timah.

"Kami tidak berniat menjadikan nama kami untuk mencetuskan kontroversi. Sebarang pentafsiran nama kami yang tidak ada kaitan dengan pelombongan bijih timah Malaysia adalah palsu.

Ia juga menegaskan bahawa minuman keras itu dihasilkan untuk dinikmati masyarakat orang bukan Islam dan mereka yang cukup umur.

Laporan polis akan dibuat

Kemarahan itu berlanjutan apabila Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas Malaysia) bercadang untuk membuat laporan polis hari ini dengan mempersoalkan masa pelancarannya.

"Kami, dari Pekemas Malaysia, mengutuk jenama wiski yang dilancarkan pada tarikh yang hampir dengan sambutan Maulidur Rasul (ulang tahun Nabi Muhammad)," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Arak jenama tempatan itu dilancarkan secara rasmi pada 7 Okt lalu oleh Pengarah Winepak Corp, Gilbert Yeo dan Kenny Yeo.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengecam pengeluaran arak jenama Timah yang didakwa menghina agama Islam.

CAP: Kandungan alkohol tinggi, 40 peratus

Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow turut mempersoalkan bagaimana pengeluaran arak berkenaan diluluskan kerana ia mengandungi 40 peratus alkohol dan ia merupakan peratusan utama untuk wiski.

"CAP tak faham bagaimana kementerian boleh beri kelulusan menggunakan nama dan gambar yang boleh mengundang kemarahan orang ramai, ini sangat tidak masuk akal," katanya dalam satu kenyataan.

Subbarow ketika dihubungi turut menjelaskan pihaknya telah menghubungi beberapa pihak setelah isu ini mendapat perhatian umum.

"Sebelum saya mengeluarkan (kenyataan itu), saya bertanya kepada beberapa orang dan mereka mengatakan Timah berasal dari perkataan Fatimah, yang disebut dalam al-Quran dan sebagainya," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya mengenai penjelasan syarikat arak itu berhubung gambar lelaki pada label produk tersebut ialah Kapten Speedy, Subbarow berkata: "Ya, kamu betul. Tetapi kami dah lama tanya - mengapa kamu mahu guna gambar seperti ini?"

"Kamu boleh gunakan jenis gambar yang berbeza. Apa pun agama - walaupun seorang Dewa Hindu mengenakan kemeja-T, kami tetap akan menentangnya. Kami juga menentang penggunaan (gambar sedemikian) pada kalendar kerana akan dibuang di jalanan,"kata Subbarow.

Subbarow sekali lagi menegaskan bahawa kebimbangannya adalah kandungan alkohol yang tinggi dalam produk tersebut.

"Yang lain gemarkan stourt dan yang suka hanya lima peratus," kata Subbarow.