Skip to main
Logo Malaysiakini

Jurukimpal berdepan dakwaan rogol remaja lembam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang jurukimpal didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam, pada Jun tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zul Amri Mohamed, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Gunong, Bachok, jam 4.45 petang, pada 27 Jun 2020.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan jaminan kerana pendakwaan dihadapi tertuduh adalah kes yang serius dan pihak polis mengalami kesukaran untuk menahannya sebelum ini.

"Pihak polis mengalami kesukaran untuk menahan tertuduh dan jika diberi jaminan mungkin sukar untuk menahannya semula.

"Saya pohon tarikh untuk sebutan semula bagi pengurusan kes," katanya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.