Sultan Selangor seru umat Islam hayati kehidupan Rasulullah
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam agar menyegarkan kembali penghayatan terhadap sejarah perjalanan hidup Rasulullah SAW.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office semalam bersempena sambutan Maulidur Rasul, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam meneladani nilai-nilai murni peribadi Nabi Muhammad dan mengikuti segala sunnah serta ajaran Rasulullah SAW.
Sultan Selangor turut menyeru seluruh umat Islam agar memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan semoga kita semua beroleh syafaat Baginda di akhirat kelak, menurut hantaran itu.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1443 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Selangor.
Dalam pada itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan masyarakat di negeri itu supaya memerhatikan jiran tetangga yang memerlukan sokongan dan bantuan dalam menghadapi situasi penularan pandemik COVID-19 ketika ini.
Baginda bertitah disebabkan COVID-19 yang melanda sejak Mac tahun lepas, ramai dalam kalangan masyarakat yang menghadapi kesulitan dan kesusahan yang perlu diberi perhatian sewajarnya.
“Disebabkan pandemik ini ada di kalangan kita yang kehilangan insan tersayang, ada anak-anak yang menjadi yatim piatu, ada yang hilang pekerjaan, ada yang kurang pendapatan, ada yang perlukan bantuan dan pelbagai lagi yang perlu ditangani dan diberi perhatian,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1443H/2021M Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung secara dalam talian malam tadi.
Baginda turut menyeru rakyat Terengganu supaya sentiasa menghargai pengorbanan berterusan petugas barisan hadapan yang telah memberikan perkhidmatan terbaik buat semua.
Justeru itu, baginda bertitah semua pihak perlu bersama-sama bertanggungjawab untuk kekal berwaspada dengan terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa bagi membendung penularan COVID-19.
“Beta juga menyeru agar rakyat sekalian menerima baik saranan pihak kerajaan dengan melengkapkan pengambilan vaksin sebagai ikhtiar untuk mencegah penyebaran penyakit serta menghalang dari kedatangan mudarat yang lebih besar,” titah baginda.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai