Skip to main
Logo Malaysiakini

Putra sertai PRN untuk jadi 'penyelamat Melaka'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sudah bersiap sedia untuk menyertai persaingan di Melaka hujung bulan depan sebagai langkah pemanas badan menjelang menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Presidennya, Ibrahim Ali, berkata penyertaan parti itu juga dibuat sebagai langkah mereka untuk "menyelamatkan Melaka" selepas kemelut yang berlaku berpunca daripada "permainan politik" kedua-dua pihak di negeri berkenaan.

Keputusan berkenaan katanya diambil hasil mesyuarat biro politik yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

"Permainan politik ini (berlaku) di kedua-dua pihak di Melaka. Jadi, Putra datang untuk selamatkan Melaka," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur petang ini.

Turut hadir Naib Presiden Putra Dr Aziz Jamaluddin, Bendahari Agung Hamzah Zainuddin, Ketua Penerangan Ashraf Rosli dan Pengerusi Putra Melaka, Dr Mohd Aluwi Sari.

Kata Ibrahim semasa zaman Kesultanan Melaka, sultan - selepas melakukan kesilapan kerana mempercayai fitnah - telah membawa pulang Hang Tuah yang sebelum itu dihukum bunuh.

"Hang Tuah datang kembali mencari keris Taming Sari untuk memperbetulkan keadaan.

"Jadi, kehadiran Putra umpama membawa balik keris Taming Sari di Melaka untuk menyelamatkan Melaka," katanya.

Tak berhajat bertanding

PRN Melaka bakal diadakan pada 20 Nov ini ekoran tindakan empat Adun kerajaan menarik balik sokongan mereka kepada Sulaiman Md Ali yang mengakibatkan ketua menteri itu kehilangan majoriti di DUN.

Susulan itu Sulaiman menasihatkan Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Melaka ialah pada 8 Nov.

Menurut Ibrahim setakat ini Putra memutuskan untuk bertanding antara dua hingga enam daripada 28 kerusi yang ada dalam DUN negeri itu sebagai langkah pemanas badan menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kata bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi Putra lebih minat untuk bertanding di empat kerusi berdasarkan kedudukan angka itu yang dianggap unik kerana melibatkan empat orang Adun yang menumbangkan kerajaan Melaka.

Ibrahim juga memberitahu Putra mengambil maklum keputusan Pakatan Harapan (PH) mahu menggunakan jalan perundangan bagi menghalang PRN daripada diadakan.

"Walaupun tarikh PRN sudah ditetapkan, namun PH failkan kes di mahkamah untuk menentukan keabsahan pembubaran Melaka dari segi undang-undang kerana mereka berpendapat pembubaran itu tidak berperlembagaan dan tidak sah.

"Maklum sahaja pasal politik macam-macam boleh berlaku. Maknanya, di bawah ke mahkamah kita tidak tahu apa keputusan, kalau mahkamah kata pembubaran tidak sah maka, PRN terbatal," katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata dia tidak akan bertanding di Melaka.

"Saya tidak akan bertanding di Melaka. Saya nak bertanding di parlimen. Saya calon PM," katanya secara berseloroh.