Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak ada siapa halang Arul Kanda hadiri sidang PAC, kata saksi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy tidak pernah dihalang daripada menghadiri sidang Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai audit entiti itu.

Bekas pegawai Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Ahmad Bashir memberi keterangan berkenaan semasa perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak dan Arul Kanda yang dituduh meminda laporan audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC pada awal 2016.

Semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram, saksi pendakwaan ketujuh itu menjelaskan tidak ada sesiapa sama ada jabatan itu atau orang lain menghalang Arul Kanda daripada menjelaskan kepada PAC mengenai sebarang masalah dalam audit.

Dalam prosiding sebelum ini di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan sebelum ini, pasukan pembelaan Arul Kanda memberitahu bekas CEO terbabit tidak diberi peluang yang mencukupi oleh Jabatan Audit Negara untuk menjelaskan isu-isu berkaitan dengan audit 1MDB.

Sri Ram: Tertuduh pertama Arul Kanda tidak diberi kesempatan untuk menjawab (isu yang dibangkitkan dalam audit). Adakah itu benar?

Saadatul Nafisah: Tidak benar.

Sri Ram: Setakat pengetahuan anda, adakah anda atau orang lain menghalang Arul Kanda daripada menghadiri mesyuarat PAC (pada 2016) untuk memberikan penjelasan?

Saadatul Nafisah: Tidak.

Sri Ram: Anda tidak melakukan apa-apa untuk menghalangnya?

Saadatul Nafisah: Tidak.

Sri Ram: Pada pandangan anda, jika PAC ingin penjelasan, mereka akan memanggil (Arul Kanda)?

Saadatul Nafisah: Ya.

Saksi itu juga bersetuju dengan Sri Ram bahawa Arul Kanda sudah bersama dengan 1MDB selama setahun sebelum PAC bersidang pada Mac 2016.

Perbicaraan di hadapan Zaini akan disambung pada 29 November.

Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan audit akhir 1MDB sebelum diserahkan kepada PAC untuk mengelakkan tindakan dikenakan terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

[Baca berita penuh]