Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita disyaki tikam mati suami dengan besi kaki payung

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menahan seorang wanita yang disyaki menikam suaminya sehingga mati menggunakan besi kaki payung di Kampung Laksamana, Batu Caves, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.35 tengah malam itu bermula apabila pasangan terbabit bertengkar.

Katanya kejadian itu dikatakan berpunca apabila si suami menuduh isterinya - yang berumur 26 tahun - mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Menurut Zainal, semasa bertengkar si suami yang berumur 45 tahun itu dikatakan mengambil sebilah gunting lalu cuba menyerang isterinya namun wanita berkenaan bertindak balas dengan mematahkan besi kaki payung lalu menikam lelaki terbabit di bahagian bawah perut.

“Lelaki itu terus rebah, terbaring di atas tilam dalam keadaan berlumuran darah, dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Polis turut menemui senjata yang digunakan oleh suspek iaitu sebatang besi kaki payung di bahagian belakang rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan membunuh.

Katanya motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu.

Menurut Zainal lagi bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pada esok, selepas laporan ujian Covid-19 diperolehi.

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes itu, ASP I Agilan dengan menelefon 03-61262222 / 019-5230801 bagi membantu siasatan.

- Bernama