Skip to main
Logo Malaysiakini

PM ucap tahniah Yadim cipta rekod beri tazkirah 24 jam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) atas kejayaan mereka menganjurkan program tazkirah 24 jam tanpa henti dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Menerusi catatan di Facebook malam ini, Ismail Sabri berharap usaha itu dapat memberi inspirasi kepada pelbagai pihak yang berhasrat untuk bersama-sama melestarikan gerakan dakwah di Malaysia.

“Alhamdulillah, dalam menyulam rasa kecintaan kepada pemimpin teragung, Nabi Muhammad SAW sempena Maulidur Rasul, Yadim berjaya mencatatkan rekod apabila mencipta nama dalam MBOR melalui penganjuran program tazkirah 24 jam yang diiktiraf sebagai Longest Non Stop Live Broadcasting Islamic Talk.

"Tahniah Yadim dan kepada semua yang terlibat dalam usaha untuk mencetuskan gelombang dakwah di negara ini,” katanya.

Program dengan tontonan 44,893 peserta membabitkan 24 penceramah dari dalam dan luar negara itu berlangsung dari jam 9 malam pada 18 Okt hingga 10 malam 19 Okt.

Ia diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1443H yang menjadi sebahagian daripada pengisian kepada program Bulan Dakwah 2.0 Yadim.

- Bernama