Skip to main
Logo Malaysiakini

Kuasa dan wang: Adakah Malaysia masih bergantung pada arang batu?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kuasa dan wang, wang dan kuasa.

Begitu bait lirik lagu hit tahun 1995, ‘Gangsta’s Paradise’.

Begitu jugalah dengan tenaga arang batu. Kuasa dan wang saling berhubung-kait. Perniagaan kuasa arang batu tidak dapat dipisahkan daripada hal-ehwal kewangan. Pendek cerita, tanpa wang, tiadalah tenaga arang batu.

Menyedari hal ini, dalam perlumbaan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menangani perubahan iklim, beberapa negara ekonomi maju baru-baru ini telah menyampaikan satu mesej yang kuat — menghentikan pendanaan kepada semua loji arang batu antarabangsa yang baru.

Perkara itu baru-baru ini diumumkan di China — pengeluar gas rumah hijau yang terbesar di dunia dan pemberi dana awam terbesar buat loji-loji arang batu di negara luar — diikuti Korea Selatan dan G7, yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, dan Jepun.

Korea Selatan dan Jepun merupakan pemodal kedua dan ketiga terbesar untuk loji arang batu di luar negara.

Bagaimana pula dengan Malaysia? 

Malaysia masih bergelumang

Malaysia — negara yang bergantung pada bahan api arang batu untuk menjana hampir separuh daripada bekalan tenaganya — jauh ketinggalan di belakang lengkung penyahkarbonan kewangan antarabangsa.

Meskipun pernah membuat ikrar jangka panjang di pentas antarabangsa untuk mengurangkan pelepasan dan jejak karbon, serta pengisytiharan kabur Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 baru-baru ini untuk berhenti membina loji kuasa arang batu, tiada komitmen rasmi umum untuk menghentikan secara berperingkat pendanaan kepada projek arang batu baru untuk dalam atau luar negara.

Bahkan tiada bayangan daripada Ismail bahawa rancangan sedemikian akan segera dimulakan

Pendanaan berkaitan arang batu boleh menjadi sebahagian daripada rantaian nilai - daripada membina dan mengoperasikan loji kuasa arang batu, hinggalah kepada melabur dalam kegiatan berkaitan arang batu, seperti pengeluaran alatan perlombongan arang batu dan pengangkutan bahan itu.

Pendanaan keseluruhan yang diberikan oleh antara sebahagian bank terbesar di Asia Tenggara buat industri arang batu (2010-2019) adalah seperti jadual di bawah:


Sehingga tahun lalu, bank komersial berkaitan kerajaan yang utama di negara ini — iaitu CIMB Group, Maybank dan RHB Bank — masih bergelumang dalam sektor arang batu.

Ini termasuklah perkhidmatan seperti memberikan pinjaman, melabur, mengumpul dana, sindiket, menasihat atau menaja jaminan, baik di dalam mahupun di luar negara.

Menurut NGO kewangan dan iklim yang berpangkalan di Australia, Market Forces, ketiga-tiga bank yang merupakan antara bank terbesar di Asia Tenggara, dianggarkan telah mendanai lebih AS$4.9 bilion (RM20.5 bilion) dari 2010 hingga 2019, dengan CIMB memberikan lebih AS$2.6 bilion (RM10.88 bilion), Maybank AS$1.8 biliion (RM7.53 bilion) dan RHB AS$435 juta (RM1.8 bilion) dalam bentuk bon dan pinjaman.

(Maybank merupakan bank keempat terbesar di Asia Tenggara jika diukur dari segi aset, diikuti CIMB (kelima) dan RHB (ke-13). 


BACA LANJUT: Yang Baik, Mudarat, dan Hodoh tentang Industri Kuasa Arang Batu di Malaysia


Tidak lama selepas laporan Market Forces dikeluarkan tahun lalu, Maybank dan CIMB dikritik hebat kerana dilaporkan mendanai rancangan projek kuasa Jawa 9 dan 10 yang berkapasiti 2,000MW.

Projek bernilai AS$3.5 bilion (RM14.64 billion) itu merupakan sebahagian daripada kompleks loji kuasa arang batu terbesar di Indonesia, yang dijangka mula beroperasi pada 2024.

Sejak usaha yang disokong Korea Selatan itu diumumkan, kumpulan alam sekitar Greenpeace telah memberikan amaran bahawa projek tersebut boleh menyebabkan sehingga 4,700 kematian pramatang di sepanjang 30 tahun tempoh operasinya.

CIMB turut disenaraikan sebagai antara 20 pemberi pinjaman kepada kegiatan perlombongan arang batu di Australia antara 2016 hingga 2019. Semenanjung Malaysia mendapatkan 22 peratus daripada bekalan arang batunya dari Australia.

Tambahan pula, kumpulan alam sekitar Jerman, Urgewald menganggarkan bahawa CIMB menyalurkan hampir AS$2 bilion (RM8.37 bilion), Maybank AS$1.8 bilion (RM7.53 bilion), dan RHB AS$363 juta (RM1.5 bilion) dalam pelaburan arang batu antara Oktober 2019 hingga Oktober 2020.

Dikatakan, antara penerimanya ialah Genting Energy, yang merupakan sebahagian daripada Genting Berhad yang memiliki secara bersama loji kuasa Meizhou Wan di China, dan saham majoriti di satu lagi loji kuasa di Banten Indonesia, semuanya menghasilkan tenaga dari arang batu. 

Kompleks loji kuasa arang batu Suralaya yang akan menempatkan unit Jawa 9 dan 10.

Bank dapat inspirasi hijau

Bagaimanapun, dalam masa setahun, bank-bank itu mengalami perubahan ketara dalam dasar arang batu mereka.

Sejak itu, ketiga-tiga institusi kewangan tersebut telah mengumumkan pemberhentian pembiayaan arang batu baru secara berperingkat daripada portfolio mereka (lihat jadual).

CIMB yang mula-mula mengambil langkah terkedepan itu pada Disember lalu, dengan mengisytiharkan dirinya sebagai bank pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang berbuat demikian, disusuli Maybank pada Mei tahun ini, dan RHB pada Jun. 


Mungkin kerana kurangnya dasar yang jelas di peringkat persekutuan untuk menunjukkan jalan, maka dasar arang batu di bank-bank juga berbeza daripada segi kejelasannya, keutamaannya, rangka masa serta tahap komitmennya.

Pencinta alam sekitar, seperti Penyelaras Nasional Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sharan Raj, percaya bahawa dasar-dasar tersebut masih “agak lemah” dan mampu memberikan mereka banyak ruang untuk mengelak.

Selain tiada garis panduan strategi yang khusus untuk jangka pendek, sederhana dan panjang, katanya, bank-bank gagal mengkhususkan sama ada mereka juga akan menghentikan semua perkhidmatan pembiayaan domestik baru berkaitan arang batu, selain gagal menjelaskan kriteria pengecualian buat pelanggan mereka.

Sebagai contoh, apa yang dimaksudkan pihak bank dengan ‘tiada pembiayaan baru arang batu’? Adakah ini hanya tertakluk kepada operasi perlombongan dan loji kuasa arang batu yang baru, atau keseluruhan rantaian nilai, termasuk pengeluaran alatan perlombongan dan pengangkutan arang batu?

Tambahan pula, apa kesannya terhadap projek sedia ada dalam sektor tenaga arang batu, seperti unit Jawa 9 dan 10 di Indonesia yang kontroversi itu?

Walaupun CIMB Group dan Maybank telah menyatakan bahawa mereka akan memenuhi komitmen sedia ada, mereka enggan mengulas mengenai pelanggan-pelanggan tertentu.

Selain tiga bank berkaitan kerajaan yang utama itu, institusi kewangan lain yang berpangkalan di Malaysia turut mengumumkan dasar khusus berkaitan arang batu.

Ini termasuklah Public Bank Berhad yang berikrar untuk menghentikan pembiayaan kepada kegiatan perlombongan dan pengeluaran arang batu, sementara Affin Bank Berhad, sebuah lagi bank berkaitan kerajaan, berikrar untuk mengehadkan pelaburan perniagaan insuransnya dalam syarikat-syarikat perlombongan arang batu dan penjanaan kuasa arang batu.

Masalahnya adalah tentang perincian

Sharan berkata bahawa kurangya perincian khusus bukanlah masalah bank-bank Malaysia sahaja, tetapi merupakan isu yang selalu dipertikaikan kumpulan pencinta alam sekitar, berhubung ikrar yang dibuat pembiaya tenaga arang batu di peringkat dunia.

“Ambil ikrar G7 (sebagai contoh). Keputusan (untuk tidak lagi menyokong penjanaan kuasa arang batu termal antarabangsa yang tidak menunjukkan pengurangan) kelihatan baik. Tetapi, masalahnya adalah pada perincian.

“Bahkan, ia sebenarnya sangat hipokrit apabila (kerajaan berkenaan) membuat banyak kaveat untuk diri mereka,” katanya.

Begitu juga, katanya, komitmen Perdana Menteri Ismail Sabri untuk menjadikan Malaysia sebuah negara neutral karbon “seawal” 2050 dan akhirnya menggantikan loji kuasa arang batu, meskipun diumumkannya di Dewan Rakyat, tetapi tidak terikat secara undang-undang.

“Semua keputusan ini adalah keputusan eksekutif. Ia tidak disokong oleh statut, tidak disokong oleh Parlimen, dan tiada Akta yang mengawal kuasa menteri,” katanya.

Pendek kata, ini membuka kemungkinan - tidak kira seberapa kecil - untuk kerajaan masa depan berpatah balik daripada ikrar tersebut.

Perkara sama terpakai untuk pendanaan domestik oleh bank-bank, yang menurut Sharan, kebanyakannya tertakluk bawah kawalan kerajaan.

“Selagi kerajaan tidak meluluskan sebarang loji kuasa (arang batu) yang baru, tidak akan ada isu untuk mendapatkan pendanaan, tetapi … sekiranya kerajaan membina satu loji kuasa yang baru (esok), dana akan datang, tak ada masalah.

“Macam itulah keadaannya di Malaysia,” katanya, sambil turut membangkitkan soal tiada halangan buat bank Malaysia untuk mendanai sektor arang batu luar negara.

Kuasa ‘kepentingan diri’

Jadi sekiranya bank-bank di Malaysia tidak terikat dengan mana-mana kekangan pembiayaan arang batu oleh Putrajaya, kenapa mereka ingin beralih daripada arang batu?

Menurut Institut Ekonomi Tenaga dan Analisis Kewangan (IEEFA) - badan pemikir yang menjejak dasar sektor kewangan dalam penjanaan kuasa arang batu dan perlombongan arang batu - rantau Asia Raya mewakili 20 peratus daripada semua dasar baru yang ditambah baik, yang diperkenalkan di seluruh dunia di sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.

Angka itu meningkat kepada 40 peratus pada tahun ini sahaja, termasuk dasar-dasar oleh tiga bank Malaysia berkenaan.

Pengarah Pengajian Kewangan Tenaga IEEFA (Australia/Asia Selatan) Tim Buckley berkata bahawa bank-bank hari ini tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan pelbagai komitmen pendanaan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).

Alasannya mudah - itulah kemahuan pemegang saham.

“Beberapa tahun dahulu, mereka (bank) tidak pun tunduk kepada desakan. Tetapi kini mereka pula berlari mengejar secepat yang mereka boleh. Kepentingan peribadi memang motivasi yang berkuasa,” kata Buckely, yang bekerja dengan CIMB awal tahun lepas sebelum bank membangunkan garis panduan sektor arang batunya. 

Buckley menjelaskan bahawa bank Malaysia tidak akan komited dengan dasar rendah karbon dan dasar pemberhentian arang batu sedemikian, jika bukan kerana dua faktor — petanda-petanda yang muncul: dan isyarat jelas daripada bank pusat Malaysia.

Yang pertama, hurainya, bank-bank itu mungkin didorong peralihan global yang beralih daripada bahan api fosil ke arah tenaga boleh diperbaharui yang lebih hijau dan murah.

“Jika kamu bina satu loji arang batu, kamu terikat untuk membeli arang batu (sebagai bahan api loji itu) selama 40 tahun yang akan datang, untuk menjana kuasanya.

“Kamu bina satu projek solar, kamu mendapat tenaga elektrik percuma untuk 25 tahun. Ini produk kewangan, bukan komoditi.

Tambahan pula, katanya, petanda-petanda menunjukkan bahawa modal tunai global berkemungkinan akan disalurkan dalam industri sifar pelepasan karbon dalam pada masa hadapan.

“(Bank-bank berkata) Mari kita mengejar arus. Mari bina produk dan mendapat ganjaran sebagai bank yang menjadi peneraju, kerana bagaimana sekalipun, pasaran global akan bergerak juga (ke arah itu).”

Untuk faktor kedua, dia berspekulasi bahawa institusi kewangan turut mendapat isyarat yang diberikan daripada Bank Negara Malaysia ke arah “mewujudkan sistem kewangan yang lebih hijau”.

“Ia tentang membuat dasar yang tepat dan rangka kerja kewangan yang tepat … tak mungkin (bank) sanggup membuat komitmen sebegitu jika bank pusat Malaysia tidak … memberikan ruang untuk mereka (berbuat demikian).” 

Bank-bank Malaysia seperti CIMB, Maybank dan RHB mungkin telah menerima isyarat kuat daripada Bank Negara Malaysia yang mendorong dasar-dasar kewangan hijau mereka

Antara usaha oleh bank pusat termasuklah Perubahan Iklim dan Taksonomi berasaskan Prinsip (CCPT) yang membantu bank menilai dan mengkelaskan aktiviti hijau mereka, selain penglibatannya dalam Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) bagi memperkukuh kapasiti sektor kewangan dalam menangani risiko berkaitan iklim.

Tak boleh berhenti mengejut

Tetapi, meskipun bersemangat tinggi, kata Buckley, bank tidak boleh menarik diri daripada sektor tenaga arang batu secara mengejut.

Oleh sebab itulah pemberhentian pembiayaan yang berkaitan dilakukan secara berperingkat untuk satu jangka masa yang lebih lama.

“Tak boleh esok juga mereka cabut lari. Di akhirnya, institusi kewangan menggalas tanggungjawab terhadap pangkalan pelanggan sedia ada … Kalau kamu bina satu projek lima tahun lepas, ia akan berjalan sehingga 20 atau 30 tahun akan datang. Kamu masih perlukan pendanaan hutang (dan insurans) untuk projek tersebut.

“Ia tentang bekerja dalam pelaburan dan komitmen sedia ada, dan hanya membantu pengurusan syarikat-syarikat itu untuk memahami tentang peluang-peluang (peralihan ke arah usaha yang lebih mesra alam),” katanya.

Bank sedang beralih dalam strategi pembiayaan mereka supaya selari dengan peralihan Malaysia dan dunia ke arah tenaga boleh diperbaharui.

Memotong pendanaan arang batu turut boleh memberikan kesan sosial yang buruk di negara-negara membangun yang tinggi penggunaan kuasa elektrik - di mana bank-bank seperti Maybank dan CIMB mempunyai pendedahan kepada loji kuasa arang batu di situ.

Bahkan, menurut laporan kelestarian 2020-nya, Maybank memberi amaran bahawa memberhentikan pembiayaan bahan api arang batu secara serta-merta boleh memberikan kesan ekonomi dan sosial yang teruk di rantau (Asia Tenggara)” - di mana lebih sepertiga kuasanya dijana oleh arang batu.

“Di peringkat global, dunia menuai hasil daripada Revolusi Industri yang telah membolehkan negara-negara maju mencapai status ekonomi mereka dengan penggunaan arang batu.

“Oleh itu, semua orang akan mendapat manfaat sekiranya negara-negara ini membantu memberikan penyelesaian dan mensubsidi mekanisme yang dapat membantu pasaran (negara) membangun untuk bergerak ke arah sumber bahan api alternatif,” kata Ketua Pegawai Kemampanan Maybank Shahril Azuar Jimin, dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Selain keselamatan tenaga elektrik, hal itu juga adalah tentang keselamatan pekerjaan buat komuniti tempatan.

“Jika kamu menganiayai pemilik loji (kuasa), kamu mengniayai pekerja-pekerjanya dan kamu menganiayai komuniti. Itu bukan peralihan. Kalau kamu serahkan sahaja kepada pasaran kewangan, itulah yang akan berlaku,” kata Buckley.

Katanya, hal itu menjadi alasan yang lebih kuat untuk kerajaan-kerajaan seperti Malaysia untuk terlibat dalam menguruskan strategi peralihan ini, bukannya membiarkannya dalam pasaran bebas.

“Jangan berharap bahawa pasaran kewangan, pasaran swasta dan pasaran modal global akan tiba-tiba bertimbang rasa. Tak akan terjadi.”


Nota Editor: Malaysiakini sudah menghubungi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk mendapatkan ulasan. Kedua-duanya berkata akan mengeluarkan kenyataan, tetapi tiada kenyataan dikeluarkan pada masa laporan ini dibuat.

Maklumat tambahan oleh Kim Ji-Yoon dari Korea Center for Investigative Journalism (KCIJ)-Newstapa dan Annelise Giseburt dari Tokyo Investigative Newsroom Tansa.

Bahagian 1: Yang Baik, Mudarat, dan Hodoh tentang Industri Kuasa Arang Batu di Malaysia 

Siri artikel ini disokong projek Asian Stories oleh Judith Neilson Institute, dengan kerjasama Tempo, Centre for Media and Development Initiatives, Tansa, The Australian Financial Review, dan Korea Center for Investigative Journalism (KCIJ)-Newstapa.