Selain SOP, kerajaan akan pantau kembali perokok di restoran
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersetuju untuk mempertingkatkan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan seperti mana dilaksanakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) oleh bekas menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad, sebelum ini.
"Setuju. Ini dasar yang bagus dari zaman @DrDzul (Dzulkefly).
“Semalam saya telah minta penguatkuasaan terhadap larangan merokok ini ditingkatkan lagi," katanya dalam satu ciapan akaun Twitternya hari ini.
Menurut anggota parlimen Rembau, penguatkuasaan undang-undang itu di semua premis makanan juga boleh dibuat bersekali dengan operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
"Sambil memantau pematuhan SOP pandemik, boleh denda perokok yang langgar larangan tersebut. Sekali harung," katanya.
Khairy berkata demikian sebagai maklum balas kepada ciapan seorang pemilik akuan Twitter yang mahukan menteri kesihatan itu menguatkuasakan kembali larangan tersebut.
Pemilik akaun Twitter Hafidz DZ meminta Khairy mempertingkatkan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan kerana tidak selesa dengan segelintir perokok yang didakwa tidak endah dengan larangan sedia ada.
"Mohon @Khairykj sebagai menteri kesihatan, kembali tingkatkan pematuhan larangan merokok di kedai makan. Makin ramai pula hisap rokok dalam kedai macam larangan dah dihapuskan," ciapnya.
Gesaan Hafidz turut itu juga turut disokong oleh salah seorang lagi pengguna laman sosial itu meskipun dia merupakan seorang perokok.
"Setuju. Saya adalah seorang perokok dan saya sokong usaha ini. Saya pun tak suka bila orang merokok di kedai makan," ciapnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai