Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada sidang media KM Sarawak hari ini atau esok mengenai pembubaran DUN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg tidak akan mengadakan sidang media pada hari ini atau esok berhubung isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh pejabat ketua menteri hari ini.

Terdahulu beberapa portal berita dalam talian melaporkan spekulasi bahawa Abang Johari dijangka membuat pengumuman itu sama ada hari ini atau esok.

"Laporan oleh The Star dan portal berita lain adalah dirujuk mengenai kononnya ada pengumuman oleh ketua menteri mengenai pembubaran DUN pada hari Jumaat.

"Pejabat ini ingin menjelaskan bahawa tidak ada pertemuan seumpama itu dijadualkan sekarang atau esok seperti yang dilaporkan," kata kenyataan itu.

The Star dalam laporannya hari ini memetik sumber yang mengatakan bahawa ketua menteri Sarawak dijangka akan membuat pengumuman itu esok.

Laporan itu mendakwa DUN Sarawak akan dibubarkan pada Sabtu ini semasa lawatan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

DUN Sarawak dibubarkan pada 7 Jun lalu dan pilihan raya negeri sepatutnya  diadakan dalam tempoh 60 hari selepas ia dibubarkan.

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan telah mengisytiharkan darurat setempat untuk mengelakkan pilihan raya negeri diadakan berikutan penularan wabak Covid-19.

Darurat di Sarawak akan tamat pada 2 Februari tahun depan dan pilihan raya negeri mesti diadakan selepas darurat berakhir.