Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga hakim mahkamah tinggi dengar permohonan Najib dapatkan pasport esok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tiga hakim mahkamah tinggi berasingan di Kuala Lumpur akan mendengar permohonan Najib Razak esok untuk mendapatkan semula pasportnya buat sementara waktu.

Ini susulan keputusan mahkamah rayuan Isnin lalu yang membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkan dia berada di Singapura dan menemani anak perempuannya yang akan bersalin di negara itu.

Menurut undang-undang Malaysia, seseorang tertuduh yang ingin memohon pelepasan pasport sementara namun berdepan kes jenayah yang belum selesai di mahkamah perlu melepasi beberapa peringkat mahkamah terlebih dahulu.

Najib disabitkan bersalah dalam kes rasuah SRC International membabitkan dana RM42 juta, namun merayu agar mahkamah membatalkan keputusan itu.

Selain itu dia juga menghadapi tiga kes jenayah yang dibicarakan di hadapan tiga hakim berasingan di mahkamah tinggi.

Kes rasuah 1MDB dibicarakan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, dakwaan pindaan laporan audit 1MDB dibicarakan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan, manakala satu lagi kes belum dibicarakan membabitkan tuduhan pecah amanah dana kerajaan sebanyak RM6.6 bilion di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee hari ini mengesahkan bekas perdana menteri itu telah membuat permohonan di tiga mahkamah tinggi berasingan dan akan didengar esok.

"Permohonan akan didengar di hadapan Collin Lawrence Sequerah, Mohamed Zaini Mazlan, dan Muhammad Jamil Hussin," kata peguam itu kepada Malaysiakini.

Farhan berkata permohonan itu akan didengar satu demi satu di mahkamah tinggi berasingan esok.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan bahawa ketiga-tiga mahkamah tinggi akan mendengar permohonan Najib untuk memperoleh pasportnya esok.

"(Permohonan Najib untuk memperoleh sementara pasport akan didengar) Di tiga mahkamah tinggi (berasingan), (iaitu di hadapan) Collin Lawrence Sequerah, Mohamed Zaini Mazlan, dan Muhammad Jamil Hussin," kata DPP.

Semakan senarai kausa dalam talian di ecourtservices.kehakiman.gov.my mendapati permohonan Najib ditetapkan untuk didengar di hadapan ketiga-tiga hakim berkenaan pagi esok.