Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital meningkat sejak 11 Okt
Sejak kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam di beberapa negeri.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keadaan itu dapat dilihat di hospital awam dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas kerajaan membuka sempadan negeri pada 11 Okt lalu.
"Situasi yang serupa dapat dilihat bagi Sarawak terutama bagi pesakit kategori tiga, empat dan lima, selepas selepas kebenaran perjalanan rentas daerah dan negeri diberikan.
"Begitu juga trend kemasukan pesakit kategori tiga, empat dan lima ke hospital awam di zon selatan.
"Negeri Sembilan mula menunjukna trend meningkat mulai minggu epid ke-40," katanya pada sidang media hari ini.
Pada masa sama Khiary memberitahu tahap penggunaan katil bagi unit rawatan rapi (ICU) dan bukan ICU di Sarawak serta Kelantan kini masih melebih 60 peratus.
Di Pulau Pinang dan Perak pula, katanya, paras penggunaan katil masih berada pada tahap melebih 50 peratus.
KKM beri amaran awal
Trend kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital itu, kata Khairy, agak membimbangkan dan KKM sedang memberi perhatian teliti kerana kerajaan memang mahu kes-kes serius dikurangkan.
"Angka-angka yang menunjukkan peningkatan kemasukan ke hospital itu akan diteliti untuk tindakan lanjut," katanya.
Bagaimanapun Khairy menjelaskan buat masa ini kerajaan tidak memberi pertimbangan untuk mengenakan larangan perjalanan merentas negeri sekali lagi.
Katanya kerajaan baru saja memberikan kebebasan kepada orang ramai.
"Ini adalah sebahagian daripada apa yang dimaksudkan bahawa kita terpaksa hidup dengan virus Covid-19," katanya.
Cuma kata ahli parlimen Rembau itu memang menjadi tugas KKM memberikan amaran awal kepada orang ramai agar berhati-hati dan mengelak daripada berlaku kelumpuhan dalam sistem kesihatan awam.
"Kalau KKM beri amaran semasa sistem sudah nak lumpuh, itu dah terlewat," katanya.
Sementara itu Khairy menjelaskan kadar penggunaan katil dan alat sokongan hayat di seluruh negara menunjukkan tanda-tanda penurunan secara berperingkat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai