Skip to main
Logo Malaysiakini

Permainan kuasa: Watak-watak di sebalik perniagaan tenaga arang batu di Malaysia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seperti kebanyakan negara membangun, Malaysia mempunyai hubungan cinta tapi benci yang rumit dengan arang batu.

Meskipun mempunyai komitmen untuk mengurangkan intensiti karbon, penggunaan arang batu di Malaysia dijangka berkembang untuk tahun-tahun yang akan datang.

Ini juga bermakna keuntungan besar buat sebahagian pemain tempatan dan antarabangsa.

Dalam bahagian terakhir laporan bersiri tiga-bahagian Malaysiakini tentang industri tenaga arang batu negara, kami menyorot pemain-pemain utama di sebalik kelangsungan perniagaan arang batu selama ini.


Watak utama dalam penghasilan kuasa 

Tenaga Nasional Berhad

Tenaga Nasional Berhad (TNB), syarikat utiliti terbesar di Malaysia, mengawal hampir kesemua bahagian pengeluaran tenaga eletktrik di semenanjung — daripada bekalan arang batu hinggalah kepada penjanaan dan pengagihan kuasa — menerusi satu rangkaian anak syarikat.

Contohya, TNB Power Generation Sdn Bhd (GenCo) pada dasarnya bertanggungjawab terhadap pemilikan dan pengurusan loji jana kuasa domestik, sementara TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNBF) mengendalikan import dan penghantaran arang batu.

Meskipun begitu, TNB yang mempunyai hak mutlak atas beberapa loji arang batu di Semenanjung Malaysia, berkata bahawa Stesen Jana Kuasa Jimah Timur akan menjadi fasiliti arang batu terakhirnya dan ia tidak akan lagi melabur dalam loji arang batu greenfield (loji kuasa yang dibina di tapak baru berbanding tapak sedia ada).

Pun begitu, arang batu masih lagi dijangka menonjol sebagai sumber tenaga untuk dua dekad yang akan datang. 


Sarawak Energy Berhad

Sarawak Energy Berhad (SEB) ialah syarikat utiliti milik kerajaan negeri yang menyelia semua bahagian penjanaan kuasa di Sarawak dan terlibat dalam keseluruhan rantaian nilai arang batu.

Dari segi fasiliti arang batu, SEB memiliki dan mengendalikan tiga buah loji — di Sejingkat, Mukah dan yang terbaru di Balingian.

Sarawak mula membangunkan arang batu dengan serius semasa tiga dekad pentadbiran bekas ketua menteri Abdul Taib Mahmud. Terdapat pelbagai dakwaaan mengenai syarikat dan individu yang dikaitkan dengan Taib dikatakan mengawal pelbagai aspek dalam industri arang batu negeri itu, atau diberikankan kontrak SEB.

Pada awal 2020, dilaporkan bahawa Osho Ventures, sebuah konglomerat yang berpangkalan di India dan Afrika Selatan, berminat untuk melombong arang batu di negeri itu. Satu laporan mengaitkan individu-individu dalam cadangan berkenaan dengan Taib. Tiada kemas kini terbaru tentangnya sejak itu.

Kuasa arang batu menyumbang sebanyak 13 peratus daripada campuran penjanaan tenaga di Sarawak. 


Malakoff Corporation Berhad

Malakoff Corporation Berhad merupakan pengeluar kuasa bebas terbesar dengan enam loji; dua daripadanya ialah loji arang batu.

Dua fasiliti arang batu itu — Loji jana kuasa Tanjung Bin Power serta loji ultra-kritikal Tanjung Bin Energy di Johor — menyumbang lebih 60 peratus daripada pendapatan syarikat itu.

Malakoff turut mempunyai pemilikan bersama dengan TNB untuk Kapar Energy Ventures, iaitu satu loji jana kuasa bahan api campuran (gas, minyak dan arang batu).

Syarikat itu sebelum ini berkata yang ia sedang melihat untuk mengembangkan portfolio kuasanya dengan lebih banyak fasiliti arang batu. Bagaimanapun, pulangan yang rendah serta stigma yang ada pada arang batu nampaknya memberikan isyarat untuk peralihan fokus ke arah tenaga boleh diperbaharui.

Malakoff secara tidak langsung dikawal oleh Syed Mokhtar Albukhary menerusi pemilikan saham oleh jutawan itu dalam MMC Corporation Berhad.



Penghantaran Arang Batu: TNB Fuel Services Sdn Bhd

Semua arang batu yang digunakan untuk penjanaan kuasa di Semenanjung Malaysia adalah diimport — dari Indonesia, Australia, Rusia and Afrika Selatan — oleh TNB Fuel Services Sdn Bhd, yang turut mengagihkan kontrak untuk pengangkutan arang batu.

TNBF baru-baru telah menstrukturkan semula kontrak penghantaran supaya hanya syarikat yang memiliki kapal dengan bendera Malaysia dibenarkan mengangkut arang batu.

Akibat daripada itu, dianggarkan hanya lima syarikat yang boleh turut serta untuk mendapatkan tender penghantaran arang batu.

Antaranya ialah Malaysian Bulk Carriers Berhad, yang mana pemegang saham terbesarnya merupakan taikun Robert Kuok Hock Nien, serta PNSL Berhad.

PNSL Berhad ialah sebuah unit di bawah Pos Malaysia Berhad, yang dikawal oleh DRB-Hicom Berhad, iaitu salah satu syarikat utama milik Syed Mokhtar. 


Benefisiari luar negara 

China

Dimiliki oleh kerajaan China, China General Nuclear Power Group (CGN) merupakan pemain terbesar dalam industri kuasa nuklear di China.

Ia memiliki Edra Global Energy (kini Edra Power Holdings Sdn Bhd) pada 2016 selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjual semua aset tenaganya.

Edra memiliki kepentingan terbesar dalam loji jana kuasa Jimah Energy Venture di Negeri Sembilan. Kepentingan selebihnya dalam loji berkenaan dimiliki oleh TNB.

Syarikat-syarikat China turut terlibat dalam membina stesen jana kuasa.

Sebagai contoh, stesen jana kuasa Balingian dibina ekoran pemeteraian kontrak pembinaan dengan Shanghai Electric Group Co Ltd pada 2014.

Stesen Tanjung Bin pula, menggunakan dandang yang dikeluarkan Wuhan Boiler Company (WBC). 


Jepun

Jepun memiliki kepentingan dalam landskap arang batu Malaysia menerusi syarikat-syarikatnya.

Dari segi pemilikan loji, Mitsui & Co Ltd dan Chugoku Electric Power Co Ltd masing-masing memiliki 15 peratus kepentingan dalam Jimah East Power, iaitu salah satu loji arang batu paling baru di Malaysia. Lagi 70 peratus kepentingan dimiliki TNB, yang memperolehinya daripada 1Malaysia Development Berhad pada 2015.

Pembiayaan juga merupakan satu faktor.

Sebagai contoh, pembesaran stesen kuasa Tanjung Bin menyaksikan Sumitomo Mitsui Banking Corporation dan Mizuho Financial Group membiayai projek berkenaan.

Bagaimanapun, harus diambil maklum bahawa pembiayaan itu ditutup pada 2012, dan kedua-dua Sumitomo dan Mizuho berikrar untuk tidak lagi membiayai usaha arang batu baru. Mizuho bagaimanapun, berkata ia mungkin memberikan pembiayaan berdasarkan kes demi kes.

Bahagian 1: Yang Baik, Mudarat, dan Hodoh tentang Industri Kuasa Arang Batu di Malaysia

Bahagian 2: Kuasa dan wang: Adakah Malaysia masih bergantung pada arang batu?


Siri artikel ini disokong projek Asian Stories oleh Judith Neilson Institute, dengan kerjasama Tempo, Centre for Media and Development Initiatives, Tansa, The Australian Financial Review, dan Korea Center for Investigative Journalism (KCIJ)-Newstapa.