Skip to main
Logo Malaysiakini

Ada exco Melaka 'harimau di perut, kucing di mulut' - Idris

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selain empat Adun yang menarik sokongan kepada pentadbiran kerajaan BN-Perikatan Nasional (PN) Melaka, sebenarnya ada lagi beberapa wakil rakyat yang selalu menyuarakan rasa tidak puas hati berkenaan pentadbiran negeri itu, dakwa bekas ketua menteri, Idris Haron.

Namun, katanya, rungutan mereka itu hanya sekadar di mulut sahaja dan tidak dizahirkan dalam tindakan menarik sokongan seperti yang dilakukan empat wakil rakyat berkenaan sehingga membawa kepada tumbangnya kerajaan BN-PN pada awal bulan ini.

“Sebenarnya ada empat ke lima orang lagi. Setiap kali selepas mesyuarat (exco), keluar, merungut.

“Tapi akhirnya, mereka menyimpan harimau dalam perut, kucing di mulut,” katanya berkias dalam rancangan bual bicara Pentas Dinamika, yang disiarkan menerusi laman sosial dan Youtube TV Dinamika semalam.

Bual bicara yang ditangani oleh moderator Syakirin Husnal itu turut menyaksikan pengerusi PH Melaka yang juga bekas ketua menteri, Adly Zahari, sebagai panelis.

Sebelum ini pun, sehari selepas menarik balik sokongan, Idris ada membuat kenyataan bahawa ada dua lagi Adun Umno yang akan menarik sokongan kepada kerajaan Melaka, namun sehingga ke akhir hal itu tidak menjadi kenyataan.

Dalam bual bicara itu, Idris sekali lagi mengungkit berkenaan krisis kepemimpinan dalam kerajaan dikepalai Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri.

Idris mendakwa pentadbiran kerajaan negeri ketika itu menerima campur tangan luar. Meski pun tidak menyebut sebarang nama, Idris dipercayai menyasarkan kenyataan itu kepada Pengerusi Umno Melaka merangkap Speaker DUN Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Dia turut sekali lagi membangkitkan isu 'penyelewengan projek' yang dia dakwanya berlaku Melaka, termasuklah penipuan terhadap kerajaan persekutuan berhubung royalti pasir.

Dakwaan itu dikatakan sebagai salah sebab penarikan sokongannya bersama tiga Adun lain kepada kerajaan negeri, menyebabkan kerajaan BN-PN di Melaka hilang majoriti dan DUN Melaka dibubarkan.

Selain itu, Idris turut menepis gelaran ‘katak’ yang dilemparkan kepadanya serta tiga bekas Adun lain kerana tindakan mereka.

“Bukan lompat. Penarikan sokongan. Maknanya kami tak yakin dengan kerajaan negeri, (maka) kami tarik sokongan, bukannya melompat.

“Sama seperti penarikan sokongan 12 ahli parlimen (dari Umno) kepada Muhyiddin Yassin, membawa kepada peletakan jawatan Muhyiddin di peringkat persekutuan,” tambahnya.

Pada 3 Okt lalu Idris bersama tiga Adun lain menarik sokongan mereka kepada kerajaan BN-PN di bawah kepemimpinan Sulaiman. Mereka ialah Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu bebas), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor dari Umno), dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas dari Bersatu).

Susulan itu, Idris, Azman dan Effandi dipecat dari parti masing-masing.

Mereka pada mulanya mahu membentuk kerajaan baru bersama PH, dengan 15 kerusi, berbanding 13 dimiliki BN-PN.

Namun, DUN Melaka dibubarkan Selasa (5 Okt) selepas Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam menerima cadangan dikemukakan Sulaiman, membuka laluan untuk pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

Idris berkata pertukaran kerajaan sepatutnya menjadi lebih licin seperti yang berlaku tahun lalu dalam Langkah Sheraton, apabila kerajaan bertukar tanpa melibatkan pilihan raya. Namun, hal itu tidak pula berlaku di Melaka.

“Kalau datang Melaka kena hati-hati, ada kekeliruan matematik: 15 itu lebih kecil daripada 13,” dipercayai merujuk pertukaran kerajaan yang tidak menjadi kenyataan, bahkan kerajaan BN-PN kekal mentadbir sebagai kerajaan sementara sehingga PRN diadakan.

“Sepatutnya ia hanya melibatkan 28 orang (Adun) sahaja. Tetapi sekarang ini terpaksa melibatkan lebih 494,000 pengundi,” katanya lagi.

Untuk rekod, semalam, Adly telah membuat permohonan untuk mencabar pembubaran DUN Melaka di mahkamah.