Skip to main
Logo Malaysiakini

Vendor penghantar makanan protes 'caj tersembunyi'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tidak tahan dengan caj-caj tersembunyi yang didakwa dikenakan syarikat penghantar makanan Foodpanda, penjual-penjual (vendor) perkhidmatan tersebut kini mengambil tindakan untuk melakukan protes beramai-ramai.

Melalui beberapa hantaran di Facebook berhubung isu yang tular tersebut, antara protes yang dilakukan ialah menghentikan kontrak dengan perkhidmatan penghantar makanan tersebut dan memilih syarikat lain.

Menurut salah seorang penjual yang hanya ingin dikenali sebagai Muhammad Ridwan, isu tersebut sudah lama dibangkitkan mereka.

“Pihak vendor selalu menerima panggilan dari Foodpanda untuk menawarkan pakej promosi namun banyak vendor tidak bersetuju kerana kos terlalu tinggi dan boleh menyebabkan kami kerugian.

“Walaupun vendor menolak, sesetengah yang lain masih dicaj untuk promosi yang tidak pernah dipersetujui,” katanya kepada Malaysiakini.

Ridwan berkata caj promosi tersebut ditetapkan antara RM280 hingga RM1,000.

“Disebabkan oleh promosi ini, banyak vendor telah menanggung kerugian,” katanya.

Guna platform selain Foodpanda

Menurut Ridwan lagi , laporan berhubung isu tersebut telah dibuat melalui platform yang ada di Foodpanda, namun maklum balas mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Dia yang telah menggunakan perkhidmatan penghantar makanan tersebut sejak kira-kira setahun lalu berkata isu berkenaan sudah berlanjutan lama sehingga mendorongnya menghentikan penggunaan perkhidmatan tersebut dan beralih kepada perkhidmatan yang lain.

“Sebagai peniaga kita tidak kekal kepada satu platform. Namun, setiap order (pesanan) masih memerlukan kos,” katanya.

Antara isu lain yang dibangkitkan mereka ialah sistem komunikasi antara perkhidmatan penghantar makanan itu dan penjual, pembatalan pesanan, caj yang tidak mendapat persetujuan penjual, pembayaran kepada penjual yang terlalu lewat dan kadar rendah dibayar kepada penghantar makanan (rider).

“Buat masa ini, vendor yang terjejas tidak beroperasi di Foodpanda tapi terus beroperasi di platform lain seperti GrabFood atau Shoppe Food. Ia akan kekal begini sehingga perkara yang dibangkitkan kami diselesaikan,” katanya.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial luahan perasaan penjual-penjual yang menggunakan perkhidmatan Foodpanda apabila ada antara mereka didakwa dikenakan caj-caj tersembunyi.

Hal itu dikatakan membawa sehingga vendor terbabit perlu membayar hutang kepada perkhidmatan penghantar makanan tersebut.

Seorang lagi penjual berkata antara gesaannya kepada penjual lain dalam protes tersebut ialah agar mereka menghentikan kontrak, menutup peranti mereka ketika waktu puncak serta hari minggu, mengurangkan menu di Foodpanda dan menaikkan harga di perkhidmatan penghantar makanan tersebut tetapi pada masa sama mengurangkan harga di platform lain.

“Saya harap Foodpanda akan bersikap lebih telus dan menambah baik sistem pembayaran mereka, serta mengatasi masalah dihadapi oleh penjual,” katanya.

Nak dikenakan penalti

Dia yang enggan didedahkan identitinya berkata terdapat penjual yang mengadukan perkara tersebut kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tetapi diberitahu perkara tersebut bukan di bawah bidang mereka.

“Jadi tiada agensi yang boleh melindungi (hak) kami (sebagai penjual),” katanya.

Tambahnya memandangkan kemelut dihadapi itu merupakan masalah yang telah lama berlarutan, penjual-penjual harus melakukan protes terhadap perkhidmatan tersebut.

Menurutnya, disebabkan situasi pandemik Covid-19, penjual yang menggunakan perkhidmatan Foodpanda memutuskan untuk melakukan protes tersebut berasingan tanpa menetapkan tarikh tertentu tetapi objektif yang sama.

Bagi penjual yang mahu dikenali sebagai Izrin pula, dia berdepan dengan masalah menolak pesanan (reject order) walaupun tiada pesanan yang masuk ke kedainya.

“Saya tak berani nak guna platform Foodpanda ni sebab selepas saya daftar, sebelum saya secara rasmi buka kedai di Foodpanda, ada khidmat pelanggan Foodpanda hubungi saya dan cakap nak kenakan penalti sebab saya ada tolak pesanan pelanggan.

“Isunya, macam mana boleh ada isu tolak pesanan sedangkan saya tak mula lagi guna Foodpanda dan peranti pun saya tak buka,” katanya.

Bagaimanapun, dia difahamkan bahawa sistem perkhidmatan penghantar makanan itu mengalami masalah teknikal.

Oleh itu katanya, dia berhasrat untuk menghentikan perkhidmatan tersebut dan akan memulangkan semula peranti yang ada.

Pada masa sama Izrin berkata dia sudah beralih menggunakan perkhidmatan penghantar makanan lain yang lebih efisyen.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Foodpanda mengenai isu tersebut.