Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramai ahli politik sakit, 'obes': Sila pakai pelitup muka - KJ

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menggesa rakyat Malaysia, terutama ahli politik, untuk terus memakai pelitup muka di tempat awam.

“Semakin ramai rakan setugas saya dilihat dalam gambar bermesyuarat tanpa memakai pelitup muka.

“Ramai ahli politik menghidapi kencing manis, hipertensi, dan mungkin obes.

“Kalau anda dijangkiti Covid-19, walaupun sudah divaksin, ia tak akan menjadi pengalaman yang menyenangkan,” tulis Khairy di Instagram Stories.

Khairy memberi amaran bahawa UK kini menghadapi gelombang baru jangkitan Covid-19 meskipun mempunyai kadar pemvaksinan yang tinggi.

“(Ini sebahagiannya) disebabkan sikap keras kepala mereka yang tak mahu memakai pelitup muka. 

"Jangan jadi macam UK. Pakai sajalah pelitup muka itu,” katanya.

Di UK, meskipun hampir 68 peratus populasi telah divaksin penuh, terdapat seramai 7,521 orang dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti Covid-19, setakat 20 Oktober, meningkat daripada angka tiga digit yang dicatatkan pada Mei.

Buat masa ini, rakyat Malaysia diwajibkan memakai pelitup muka di luar rumah, kecuali ketika makan di kedai makan.

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka didenda RM1,500.