Skip to main
Logo Malaysiakini

MA63: 'Nak penjelasan apa lagi dari AG' - MP KK soal Putrajaya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang ahli parlimen pembangkang Sabah hari ini mempersoalkan keputusan kerajaan persekutuan menangguhkan rang undang-undang pindaan, yang akan menyaksikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan.

Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu) berkata cadangan pindaan perlembagaan itu telah pun mendapat persetujuan Majlis Khas mengenai MA63 semasa mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tiga hari lalu.

Bagaimanapun, semalam, Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata kabinet telah memutuskan untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada peguam negara berhubung rang undang-undang itu.

"Majlis khas MA63 telah mengadakan pertemuan tiga hari yang lalu, dan menurut Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri, Dr Maximus Ongkili, Dewan Rakyat telah bersetuju dengan cadangan pindaan perlembagaan yang dikemukakan oleh Menteri Undang-undang Wan Junaidi.

"Ketua Menteri Sabah dan Sarawak turut hadir semasa mesyuarat majlis itu yang dipengerusikan oleh PM Ismail Sabri.

“Soalan saya sekarang: Siapakah menteri dalam kabinet yang berani mencabar keputusan Majlis Khas MA63 yang bukan sahaja terdiri daripada PM, dan kedua-dua KM Sabah dan Sarawak?

"Mengapa kita bahkan memerlukan Peguam Negara untuk menjelaskan lebih lanjut rang undang-undang yang terang seperti hari siang tanpa kekaburan," kata Chan (gambar, bawah) pada satu kenyataan.

Sebelum ini, Wan Junaidi berkata rang undang-undang pindaan perlembagaan berkaitan dengan MA63 akan dibentangkan di parlimen pada 26 Oktober.

Pun begitu semalam, RUU itu tidak dimasukkan dalam senarai Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Wan Junaidi juga tidak menjelaskan perincian bila tarikh RUU itu akan dibentangkan.

RUU itu bertujuan untuk mengubah Fasal 2, Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan, yang akan memberikan autonomi yang lebih luas kepada pemerintah Sabah dan Sarawak.

Jika pindaan itu lulus di parlimen, ini kali pertama Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf MA63 dalam peruntukannya.