Skip to main
Logo Malaysiakini

42 kematian baru dilaporkan - terendah sejak pertengahan Mei

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan melalui laman web Github melaporkan sejumlah 42 kematian akibat Covid-19 semalam (23 Okt), menjadikan jumlah kematian terkumpul adalah seramai 28,354 orang.

Ia merupakan angka kematian harian yang dilaporkan terendah dalam tempoh lebih lima bulan. Pada 13 Mei, sebanyak 38 kes kematian dilaporkan.

Daripada jumlah kematian yang dilaporkan semalam, 10 orang atau bersamaan 23.8 peratus meninggal dunia sebelum mereka sempat menerima rawatan di hospital.

Malaysia adalah negara dengan prestasi ketiga terburuk di Asia dalam jumlah kematian Covid-19 per kapita, selepas Iran dan Lubnan.

Sarawak mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi sebanyak 17 orang, atau 40.5 peratus daripada jumlah kematian yang dilaporkan.

Ini diikuti dengan Kelantan (5), Selangor (5), Sabah (4), Perak (3), Johor (2), Negeri Sembilan (2), Pahang (1), Pulau Pinang (1), Terengganu (1) dan Kuala Lumpur (1).

Tidak ada kematian baru dilaporkan di Kedah, Melaka, Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 35 daripada 42 kematian yang dilaporkan, atau 83.3 peratus, berlaku dalam tempoh tujuh hari lalu.

Kematian selebihnya berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 122 kematian kes Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata 71 kes dalam masa tujuh hari - menandakan aliran menurun.

Sehingga kini, 2,146 kes kematian Covid-19 dilaporkan pada bulan ini.

Sebanyak 9,680 kematian Covid-19 dilaporkan pada bulan September, 7,642 pada bulan Ogos, 3,858 pada bulan Julai dan 2,380 pada bulan Jun.

Setakat semalam, terdapat 77,305 kes Covid-19 yang masih aktif. Ini adalah pengurangan 20 peratus daripada 96,663 kes aktif seminggu yang lalu.

Berbanding 30 hari yang lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 61 peratus daripada 198,285 kes.

Jangkitan berkaitan kluster

Daripada 5,828 kes baru semalam, sejumlah 256 daripadanya dikesan daripada kluster Covid-19 yang ada sekarang, menurut Kementerian Kementerian lewat malam tadi.

Daripada kes berkaitan kluster, 162 (63.3 peratus) adalah kluster tempat kerja manakala 68 (26.6 peratus) adalah kluster komuniti.

Seramai 12 pesakit lagi (6.3 peratus) adalah dari kluster kumpulan berisiko tinggi, seperti rumah orang tua.

Kes-kes selebihnya dikesan daripada kluster yang berkaitan dengan institusi pendidikan (8 - 3.1 peratus) dan acara keagamaan (6 - 2.3 peratus).

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan statistik kematian bersama dengan jumlah kes Covid-19 baru pada sebelah petang.

Bagaimanapun statistik kematian kini dikeluarkan selepas tengah malam bersama dengan data lain yang lebih terperinci.

Malaysiakini melaporkannya pada sebelah pagi keesokannya.