Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Bila kadar kematian di M'sia akan lebih rendah dari Indonesia?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Saya gembira selepas mengeluarkan kenyataan media semalam bagi meminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk menjelaskan mengenai mengapa laman web CovidNow melaporkan 42 kematian akibat Covid-19 sedangkan laman web Worldometer melaporkan 222 kematian pada 23 Oktober 2021.

Laman web Worldometer kemudian memperbetulkan angkanya agar selari dengan angka yang disiarkan CovidNow.

Saya ingin bertanya kepada Khairy sama ada beliau mengikuti statistik Covid-19 di Indonesia di mana untuk sepuluh hari berturut-turut, ia telah melaporkan kes harian baru Covid-19 pada paras julat tiga angka.

Saya meminta penjelasan beliau tentang bilakah kes harian baru Covid-19 di Malaysia akan diturunkan kepada paras julat tiga angka.

Berhubung kematian akibat Covid-19, angka kematian di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding Indonesia untuk lebih sebulan lamanya.

Dalam enam daripada 10 hari lalu, kes kematian harian di Indonesia adalah kurang lebih separuh berbanding Malaysia. 

Sebagai contoh, pada 17 Oktober, kes kematian harian akibat Covid-19 di Indonesia adalah sebanyak 19 kes berbanding 63 kes kematian di Malaysia atau hanya 30 peratus daripada angka kematian yang dilaporkan di Malaysia.

Bolehkah Khairy memberikan penjelasan mengenai kejanggalan ini, terutama berhubung sistem kesihatan awam Malaysia?

Tambahan pula, rakyat Malaysia masih menantikan penjelasan Khairy berhubung angka kematian akibat Covid-19 yang tinggi di Malaysia dan mengapa Malaysia telah menjadi salah sebuah negara dengan prestasi terburuk di rantau ASEAN dalam menguruskan wabak Covid-19.

Jumaat ini adalah hari Belanjawan 2022. Seperti negara-negara lain di seluruh dunia, Malaysia telah kehilangan begitu banyak nyawa dan rakyatnya telah kehilangan mata pencarian sejak dua tahun lalu.

Malaysia harus mengambil iktibar daripada wabak Covid-19, di mana 28,400 nyawa telah terkorban dan 2,431,716 juta orang telah dijangkiti Covid-19.

Malaysia perlu bersedia untuk wabak yang seterusnya yang mana pakar perubatan meramalkan akan bakal berlaku pada bila-bila masa.

Belanjawan 2022 adalah wadah untuk negara memperkukuhkan perkhidmatan barisan hadapan untuk menghadapi wabak dan memberikan sokongan sewajarnya terhadap dasar kewangan kesihatan dengan memperkukuhkan ketahanan sistem kesihatan, keselamatan kesihatan dan liputan kesihatan sejagat.

Belanjawan 2022 harus memberikan fokus untuk meningkat hasil yang mencukupi untuk sistem kesihatan, menggunakan hasil tersebut untuk memaksimumkan perkongsian risiko merentas seluruh penduduk, dan membelanjakan dana tersebut dengan cara terbaik untuk meningkatkan kesihatan semua rakyat.

Ini adalah ujian untuk Belanjawan 2022.


LIM KIT SIANG ialah anggota parlimen DAP Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.