Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tiada kata sepakat dari menteri, pindaan MA63 kandas lagi'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Usaha untuk meminda peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 sekali lagi berhadapan halangan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pembentangan pindaan perlembagaan itu tetapi membenarkan bacaan kali pertama di Dewan Rakyat esok namun bacaan kedua pula akan ditunda ke satu tarikh lain.

Bagaimanapun, Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mendedahkan pembentangan untuk pembacaan pertama esok juga tidak akan berlaku.

"Berikutan sesi libat urus semasa mesyuarat pra majlis semalam, yang dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kami tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai cadangan pindaan kepada beberapa artikel berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Wan Junaidi pada satu kenyataan.

Wan Junaidi berkata tarikh baru untuk pembentangan akan ditentukan selepas taklimat oleh Peguam Negara Idrus Harun pada 29 Oktober.

Wan Junaidi berkata penangguhan itu bertujuan memastikan pindaan berkenaan mendapat sokongan penuh daripada semua menteri.

Draf pertama pindaan tersebut antara lain akan mengembalikan hak Sabah dan Sarawak supaya setaraf dengan negeri-negeri Semenanjung.

Ia juga akan berusaha untuk memberikan status bumiputera kepada anak-anak Sarawak daripada keturunan campuran daripada sebelah ibu atau bapa.

Berdasarkan peraturan sekarang, kedua ibu bapa mesti bumiputera supaya anak itu juga dianggap sebagai anak bumiputera sehingga menimbulkan banyak pertikaian undang-undang di mana anak-anak menghadapi kesukaran untuk mewarisi tanah daripada ibu bapa mereka yang berketurunan bumiputera.

Rancangan asalnya supaya RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan itu akan dibentangkan esok dan kemudian dibahaskan untuk bacaan kedua pada 28 Oktober.

Tidak ada tempoh masa untuk pindaan itu sehinggalah selepas taklimat oleh peguam negara.