Skip to main
Logo Malaysiakini

Kertas Pandora: Tak salah, cuma tak sesuai, kata Dr M

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berpendapat mereka yang disebut dalam pendedahan Kertas Pandora tidak melakukan sebarang kesalahan undang-undang sekiranya membuat pembayaran cukai di negara yang mereka berurusniaga.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), tindakan berkenaan tidak sesuai jika dilihat dari segi moral.

“Terpulanglah kepada kerajaan... daripada segi undang-undang, ia tak bersalah tetapi dari segi moral mungkin tak sesuailah - kalau ada duit simpan di luar negara.

“Sebaliknya mereka ini ada yang dapat keuntungan di luar negara. Bukan di dalam negara dan mereka membayar hasil cukai di negara-negara itu.

“Jadi kalau mereka bawa balik mungkin akan dikenakan bayaran lain pula.

“Jadi mereka tidak buat kesalahan sama ada di negara kita ataupun di negara mereka berniaga. Kalau mereka tak bayar cukai di negara yang mereka berniaga, itu salahlah,” katanya pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab berhubung kenyataan kerajaan yang membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap dakwaan Kertas Pandora.

Pada 16 Okt lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata yang terlibat dalam pendedahan Kertas Pandora boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti berhubung pendedahan tersebut.

Dia mencadangkan sekiranya tidak setuju dengan undang-undang sedia ada, kerajaan boleh digesa meminda undang-undang berkenaan keuntungan di pesisir luar, di mana keuntungan yang diperolehi di luar negara oleh rakyat Malaysia, perlu dibawa balik ke negara ini.

Kertas Pandora merujuk kepada sejumlah dokumen yang dibocorkan kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), yang juga merupakan rakan kongsi Malaysiakini.

Kebocoran itu berasal dari sejumlah syarikat yang membantu pelanggan menubuhkan atau menguruskan akaun luar pesisir dan syarikat di syurga perlindungan cukai (tax haven).

Malaysiakini telah mendedahkan beberapa tokoh yang dinamakan termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, ahli Parlimen Selayang William Leong dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka menafikan melanggar undang-undang dan mengatakan semua cukai yang perlu dibayar telah dibayar.

Meskipun tidak menjadi kesalahan memiliki entiti luar pesisir tetapi ia berpotensi disalahgunakan untuk menyembunyikan kekayaan di luar negara atau digunakan untuk mengelak cukai..