Skip to main
Logo Malaysiakini

Kanak-kanak bapa warga M'sia, ibu warga China dapat warganegara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang kanak-kanak yang dilahirkan di negara ini yang bapanya warganegara Malaysia dan ibu warganegara asing tetap merupakan warganegara Malaysia, meskipun ibu bapanya belum mendaftar perkahwinan mereka pada masa dia dilahirkan.

Ini adalah intipati keputusan penting Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini, yang membenarkan saman pemula oleh bapa kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Ong Chin Hock.

Bapa berusia 38 tahun itu berkahwin dengan seorang wanita warganegara China.

Portal berita dalam talian The Malay Mail melaporkan peguam keluarga Nicholas Kow menyifatkan keputusan hakim Abdul Wahab Mohamed sebagai keputusan penting.

“Ia adalah satu keputusan penting kerana bapanya adalah rakyat Malaysia, anak dilahirkan di Malaysia tetapi ibu adalah warga asing. Kes ini telah selesai di mana kanak-kanak itu akan menjadi warganegara Malaysia.

“Jadi sekurang-kurangnya sekarang undang-undang telah diselesaikan berdasarkan kes ini. Setiap kes kewarganegaraan adalah berpaksikan fakta. Fakta kes ini sama sekali berbeza daripada kes lain,” Kow dipetik sebagai berkata selepas prosiding hari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Andy Ooi Keng Liang, yang juga peguam mewakili keluarga, berkata isu kritikal yang diputuskan oleh mahkamah hari ini adalah sama ada seorang kanak-kanak, yang dilahirkan secara tidak sah oleh bapa warga Malaysia dan ibu warga asing, boleh menjadi rakyat Malaysia.

Dua syarat

Sebelum ini, kerajaan dan Ketua Pendaftar Kelahiran dan Kematian Malaysia berpendapat bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di Hospital Pakar KPH Ipoh pada 14 Jun 2016 itu bukan warganegara Malaysia kerana ibu bapanya ketika itu belum berkahwin.

Pada 9 Sept tahun yang sama, ibu bapa anak tersebut mendaftarkan perkahwinan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya.

Mereka memohon kewarganegaraan anak mereka sejak 2017. Bagaimanapun adik kepada kanak-kanak perempuan itu yang dilahirkan pada 19 Sept 2018 mendapat status warganegara Malaysia.

Semasa prosiding hari ini, Abdul Wahab mengarahkan Ketua Pendaftaran Kelahiran Kematian mendaftarkan semula kanak-kanak itu sebagai warganegara Malaysia. 

Kerajaan dan Ketua Pendaftaran dan Kelahiran Malaysia merupakan dua defendan yang dinamakan dalam saman pemula itu.

Hakim memutuskan bahawa kanak-kanak itu merupakan warganegara Malaysia kerana mematuhi dua syarat di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 14 menyebut mengenai kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

“Tidak dinafikan kanak-kanak itu dilahirkan di negara ini selepas hari Malaysia.

“Kedua, kanak-kanak itu juga memenuhi dua kelayakan dalam Bahagian II Jadual Kedua iaitu Seksyen (1)(a) dan Seksyen (1)(e),” kata Abdul Wahab.

Seksyen (1)(a) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, menyatakan tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara atau bermastautin secara tetap di Persekutuan,  adalah warganegara Malaysia.

Manakala Seksyen (1)(e) menyatakan tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara lain, adalah merupakan warganegara Malaysia.

Tiada bukti jadi warganegara lain

Abdul Wahab menegaskan bahawa tiada bukti kanak-kanak itu mempunyai kewarganegaraan atau pasport lain dari mana-mana negara lain atau pernah meninggalkan Malaysia, sejak kelahirannya.

“Oleh itu, saya dapati bahawa plaintif telah mengemukakan kes untuk mahkamah ini mengisytiharkan perintah dari segi saman pemula, Perenggan 1 dan 2, tanpa perintah mengenai kos,” kata hakim itu.

Mengikut afidavit Ong, Mahkamah Tinggi Ipoh pada 4 Sept 2019, telah mengisytiharkan kanak-kanak itu sebagai anak sah pasangan itu.

Bapanya berkata pada 18 Nov 2019, dia dan isteri menerima laporan keputusan DNA daripada Jabatan Kimia Malaysia yang membuktikan gadis itu adalah anak kandung mereka.

Ong kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi pihak anaknya pada Disember tahun yang sama.

Selain Kow dan Ooi, keluarga itu turut diwakili peguam Ong Yu Shin.

Ketika ditemui media selepas prosiding hari ini, Ong dilaporkan berkata mereka gembira kerana seluruh keluarga itu kini dapat bersama.

“Ia adalah penghakiman yang sangat panjang dengan jumlah 51 muka surat. Intipatinya, saya boleh mengatakan bahawa hakim mendapati bahawa sama ada ibu bapa berkahwin secara sah atau tidak semasa anak itu dilahirkan tidak relevan dalam kes ini.

“Ini kerana gadis itu dilahirkan di Malaysia selepas Hari Malaysia dan tidak mempunyai pasport lain atau tiada kerakyatan lain,” katanya.

Peguam kanan persekutuan Ashyraf Ashyari Kamaruzaman mewakili kedua-dua defendan hari ini.

Malaysiakini sedang menghubungi pasukan peguam plaintif dan defendan berhubung perkara itu.