Pendengaran Adly cabar pembubaran DUN Melaka 8 Nov ini
Permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari untuk membatalkan pembubaran DUN akan dikemukakan dalam perbicaraan mahkamah pada 8 Nov.
Peguam mewakili Adun Bukit Katil itu Razlan Hadri hari ini mengesahkan tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Kami baru mengeluarkan (dari mahkamah) salinan permohonan kebenaran semakan kehakiman, dan tarikh perbicaraan yang disenaraikan pada 8 Nov di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin.
"Kami akan mengemukakan kertas kausa berkenaan kepada responden esok," kata pengamal undang-undang itu kepada Malaysiakini.
Pada Jumaat minggu lalu, Adly memfailkan cabaran undang-undang terhadap pembubaran DUN awal bulan ini, menamakan empat responden: ketua menteri sementara Melaka Sulaiman Md Ali; speaker DUN Ab Rauf Yusoh; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); dan Yang Dipertua Negeri Melaka Melaka Mohd Ali Rustam.
Pada 4 Oktober, empat Adun yang diketuai oleh Adun Umno Sungai Udang, Idris Haron, mengumumkan keputusan mereka untuk menarik balik sokongan kepada Sulaiman.
Tiga yang lain ialah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Susulan itu, Sulaiman kehilangan majoriti dan Ali membuat keputusan untuk membubarkan DUN, membuka jalan untuk pilihan raya negeri pada 20 November.
Semakan kehakiman itu menyasarkan keabsahan nasihat Sulaiman kepada Ali untuk membubarkan DUN Melaka.
Adly memohon mahkamah beberapa pengisytiharan, antaranya untuk mengisytiharkan tindakan, pada atau sekitar 4 Oktober, untuk membubarkan dewan perundangan keempat belas Melaka sebagai tidak sah, menurut kepada Perkara 19 (2) perlembagaan negara, kerana Sulaiman telah hilang majoriti sebelum memberi nasihat itu.
Adly juga meminta pengisytiharan bahawa nasihat Sulaiman kepada Ali pada atau sekitar 4 Oktober untuk membubarkan DUN Melaka, batal dan tidak sah kerana dilakukan bukan hanya dalam mala fide (dalam niat buruk), tetapi juga tidak masuk akal dan tidak rasional kerana Covid-19 yang berterusan.
Adly meminta pengisytiharan bahawa pewartaan pembubaran itu batal kerana Ali didakwa tidak mengetahui bahawa Sulaiman tidak lagi mempunyai majoriti dewan, ketika nasihat itu diberikan.
Dia juga meminta perintah untuk membatalkan arahan SPR yang dikeluarkan pada 18 Oktober, untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai