Skip to main
Logo Malaysiakini

Faizal: Kenyataan saya isu aduan Pandelela dicatat luar konteks

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata kenyataannya baru-baru ini mengenai pendedahan penerjun negara Pandelela Rinong mengenai bekas jurulatihnya yang gemar membuat ‘lawak lucah’ telah dibahas luar konteks.

Jelasnya, maksud sebenarnya adalah agar kementeriannya mendapatkan penjelasan lanjut daripada Pandelela serta pihak lain yang didakwa terlibat dalam perkara itu.

“Apa yang saya katakan dalam sidang media semalam mungkin dicatat di luar konteks oleh media.

“Apa yang saya maksudkan ialah kita perlu mendapatkan penjelasan lanjut daripada Pandelela sendiri dan mereka yang terlibat termasuk jenaka lucah dan sebagainya.

"Saya perlu penjelasan menyeluruh sebelum mengambil tindakan yang seterusnya," katanya di Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab hari ini.

Ahmad Faizal menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang bertanyakan apakah pendirian menteri berkenaan isu gangguan seksual terhadap atlet.

Khamis lalu, Pandelela telah berkongsi di media sosial bahawa dia pernah mempunyai seorang bekas jurulatih yang suka membuat jenaka lucah, tetapi atlet tidak boleh berbuat apa-apa terhadapnya kerana dia mendapat sokongan ketua jurulatih.

Dia mendakwa jurulatih itu melakukan rogol tujuh tahun kemudian.

Faizal semalam mempersoalkan mengapa Pandelela membangkitkan perkara itu setelah sekian lama, yang mengundang kritikan pelbagai pihak.

Di Dewan Rakyat hari ini, Faizal berkata dia bersetuju dengan Syed Saddiq mengenai keperluan satu jawatankuasa untuk meneliti kes gangguan seksual dalam sukan dan memastikan ia tidak berulang.

"Jika ada berlaku pun akan ada siasatan yang menyeluruh untuk pastikan atlet dan anak-anak yang terbabit dalam sukan tidak terdedah kepada perkara-perkara yang begitu menjengkelkan ini," katanya.

Gobind Singh (PH-Puchong) kemudiannya menyelar Faizal di Dewan Rakyat kerana kenyataannya mengenai Pandelela.

"Menteri ini tidak layak jadi menteri belia dan sukan kerana dia tidak beri sokongan kepada mereka atau apa yang disebut oleh Pandalela.

"Adakah menteri tahu tak ada batas masa dalam undang-undang jenayah? Kalau ada aduan, walaupun kes lama, ia seharusnya ambil tindakan dan sebagai menteri, dia perlu tunjukkan contoh dalam perkara ini," kata Gobind.

Faizal kemudian akur dengan Gobind, berkata bahawa dia sedar bahawa tiada had masa dalam undang-undang jenayah.

Dia menegaskan lagi bahawa apa yang dia maksudkan semalam ialah dia akan mendengar semua pihak sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita mesti mempertahankan atlet kita yang telah membanggakan negara kita,” katanya.