Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam Shafee mohon lupus 31 perenggan kenyataan saksi pendakwaan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pasukan undang-undang Muhammad Shafee Abdullah membantah sebahagian besar keterangan yang dicadangkan saksi pendakwaan utama dalam perbicaraan pengubahan wang haram RM9.5 juta terhadap peguam itu.

Ketua peguam bela Harvinderjit Singh membangkitkan bantahan awal terhadap kenyataan saksi bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad.

Saksi pendakwaan keenam itu masih belum memberi keterangan saksi dalam prosiding di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Muhammad Jamil Hussin.

Perbicaraan pengubahan wang haram hari ini adalah berhubung dengan RM9.5 juta yang Shafee (atas) terima daripada bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.

Harvinderjit berhujah bahawa 33 perenggan daripada 51 perenggan perlu dilupuskan kerana didakwa mempunyai unsur prejudis.

Peguam itu mendakwa bakal saksi pendakwaan itu bukanlah pakar undang-undang tetapi membuat kenyataan dalam keterangan yang dicadangkan yang terdengar seperti pengumuman undang-undang.

Harvinderjit mendakwa bahawa pembacaan kenyataan saksi itu seolah-olah menunjukkan bahawa saksi itu telah mencapai keputusan bersalah terhadap Shafee, yang mana hanya hakim yang layak boleh melakukannya.

“Sungguh pelik apabila baca kenyataan saksi itu. Kelayakannya (Syed Nasrul) adalah perakaunan dan bukan undang-undang, namun dia memberikan pendapat (melalui kenyataan saksi) mengenai tafsiran peruntukan Akta Cukai Pendapatan.

"Itu adalah pendapat undang-undang dan satu-satunya orang yang boleh memberi pendapat undang-undang ialah Yang Arif," Harvinderjit memberitahu Jamil.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz kemudiannya membantah permohonan pihak pembelaan untuk menghapuskan 33 perenggan daripada jumlah 51 perenggan kenyataan saksi Syed Nasrul.

Pendakwa raya berhujah bahawa isu yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan adalah sangat serius dan perlu ditangani terlebih dahulu.

“Sekiranya mahkamah memutuskan tidak memihak kepada kami, bermakna kami tidak boleh menggunakan kenyataan saksi sama sekali.

“Jika dimansuhkan, ia akan menjejaskan keterangan yang akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

"Kami menentang bantahan itu dan ingin menanganinya pada tarikh kemudian," kata Afzainizam.

Bagaimanapun, Jamil memberitahu bahawa dia ingin mendengar Syed Nasrul membacakan keterangan saksinya terlebih dahulu apabila perbicaraan disambung pada 8 Dis.

Hakim berkata dia akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memutuskan bantahan pihak pembelaan. Prosiding kemudiannya ditangguhkan hari ini.

[Baca berita penuh]