Skip to main
Logo Malaysiakini

Veteran Umno syak KKM ada niat tak baik di sebalik larangan berkempen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Veteran Umno hari ini menyatakan rasa curiga mereka terhadap keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan larangan terhadap perjumpaan serta perhimpunan politik di Melaka.

Setiausaha agung Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata mereka mengesyaki ada niat tertentu di sebalik larangan tersebut.

“Veteran mengesyaki KKM mempunyai niat tidak baik terhadap Umno kerana mahu mengekang jentera parti berkempen bagi mencapai kemenangan.

“Dengan cara itu ia akan memberi nafas kepada Bersatu menggerakkan jentera parti itu yang lemah bagi menghadapi Umno," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mustapha tiada sesiapa dapat menafikan bahawa Umno mempunyai jentera yang rapi dan tersusun untuk menghadapi PRN Melaka berbanding Bersatu yang dianggapnya lemah walaupun memiliki sokongan PAS.

Pada 24 Okt lalu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan semua kegiatan, perhimpunan atau majlis sosial tidak dibenarkan sepanjang tempoh perjalanan PRN Melaka sehingga . Termasuk dalam larangan itu ialah kempen.

Ia berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 27 Non. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Nov sebagai hari penamaan calon dan pengundian dilaksanakan 12 hari kemudian.

Elak serba salah menteri

Tempoh berkempen sepatutnya bermula secara rasmi pada hari penamaan calon sehinggalah jam 12 tengah malam sebelum mengundi.

Menurut Khairy KKM menetapkan larangan tersebut bagi mengelakkan penularan kes dan kluster Covid-19 yang masih berisiko tinggi dalam perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi SOP. 

Untuk rekod Khairy merupakan ahli parlimen Umno yang dilantik menjadi menteri sejak kejatuhan Pakatan Harapan pada akhir Feb tahun lalu. Dia menjadi menteri sains, teknologi dan inovasi di bawah pimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, dan sekali lagi menganggotai kabinet selepas Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi perdana menteri.

Setakat ini ada kemungkinan PRN Melaka menyaksikan pertembungan tiga penjuru termasuk membabitkan Umno dan Bersatu di sebalik kedudukan kedua-dua parti berada dalam kerajaan.

Mustapha berkata Veteran Umno juga tertanya-tanya mengapa pengumuman mengenai larangan berkenaan dibuat Khairy, bukannya Menteri Kanan Keselamatan Hishammuddin Hussein atau perdana menteri sendiri.

Katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang patut boleh menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat untuk berkempen, misalnya dengan mengehadkan kehadiran orang ramai.

Dia turut mendesak Ismail Sabri membenarkan kempen dijalankan dengan SOP yang ketat.

“Sekiranya larangan itu bertujuan untuk menghalang menteri-menteri turut berkempen demi menjaga air muka mereka kerana berada di dalam keadaan serba salah untuk menyokong calon-calon yang bertanding, maka kerajaan boleh mengarahkan semua menteri jangan hadir dan duduk di pejabat buat kerja.

“Ianya tidak menjatuhkan maruah menteri. Biarlah jentera parti yang buat kerja kempen,” katanya.