Skip to main
Logo Malaysiakini

Bomoh mengaku tak bersalah tuduhan rogol bakal pengantin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pengamal perubatan tradisonal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini, atas dakwaan merogol seorang wanita berusia 23 tahun.

Jusoh Jaafar, 67, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan penolong pendaftar mahkamah Rozaidi Yaacob.

Mengikut pertuduhan, Jusoh didakwa merogol wanita terbabit menggunakan kedudukan yang berkuasa sebagai pengamal perubatan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik sebuah rumah di Kampung Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas, jam 3 petang, pada 14 Okt lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam bela, Nur Fatin Syahirah Abu Hasan.

Mahkamah menetapkan esok sebagai sebutan semula kes di hadapan hakim mahkamah sesyen berkenaan.

Sebagai rekod Malaysiakini sebelum ini melaporkan seorang wanita yang juga bakal pengantin dikatakan mengalami gangguan makhluk halus mendakwa dirogol seorang bomoh dikenali sebagai Ayah Su ketika menjalani rawatan berkenaan.