Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar dibenar bahas penjualan RM9.8 bilion aset Petronas di Azerbaijan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini membawa usul tergempar ke Parlimen untuk membahaskan penjualan kira-kira RM9.41 bilion kepentingan perniagaan Petronas di Azerbaijan baru-baru ini.

Anwar telah membentangkan usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) – yang memperkatakan perkara kepentingan awam – pada akhir sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli parlimen Port Dickson itu mendakwa Petronas telah menjual kepentingan perniagaannya di Azerbaijan hampir RM10 bilion selepas dividen Petronas kepada kerajaan dinaikkan kepada RM25 bilion untuk 2021.

“Ini penting kerana penjualan aset di Azerbaijan bernilai hampir RM10 bilion dan juga dengan dividen RM25 bilion kepada kerajaan untuk 2021, ia berbahaya dan boleh merosakkan masa depan Petronas,” kata Anwar semasa membentangkan usul itu hari ini .

Ia juga soal kepentingan awam, katanya, memandangkan Petronas merupakan institusi ekonomi penting dalam negara dan ia harus diperkukuh.

Dia juga telah menyiarkan tangkapan skrin usul yang dikemukakan di Facebooknya beberapa hari lalu.

Usul itu dipersetujui Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, yang bersetuju bahawa ia adalah penting, mendesak dan perkara kepentingan awam.

Sehubungan itu, Azhar berkata usul itu akan dibahaskan di kamar khas pada 2.30 petang hari ini.

Bagaimanapun, Anwar berhujah perkara itu perlu dibahaskan di Dewan Rakyat kerana ia melibatkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Azhar tetap dengan keputusannya itu dengan berkata tidak banyak bezanya antara membahaskan perkara itu di kamar khas atau di Dewan Rakyat.

Azhar juga menegaskan masih terdapat dua rang undang-undang kerajaan yang perlu dikendalikan di Dewan Rakyat hari ini.

“Prosiding di Dewan Khas boleh ditonton orang ramai dan ia direkodkan. Jadi tidak banyak bezanya,” kata Azhar.

Dilaporkan pada awal Oktober bahawa Petronas telah mengesahkan mereka telah mencapai persetujuan dengan syarikat minyak dan gas Rusia LUKOIL untuk cadangan penjualan kepentingan perniagaan Petronas di Azerbaijan.

Ini termasuk keseluruhan 15.5 peratus kepentingan Petronas dalam projek gas asli Shah Deniz dalam sektor Azerbaijan di Laut Caspian dengan nilai AS$2.25 bilion (kira-kira RM9.41 bilion).

Urus niaga yang dicadangkan itu dijangka berkuat kuasa mulai 1 Jan 2022. Petronas tidak menyatakan bagaimana ia merancang untuk menggunakan hasil daripada penjualan kepentingan itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan usul mengenai laporan Petronas menjual aset gas di Azerbaijan dengan nilai hampir RM10 bilion akan dibahaskan pada Persidangan Kamar Khas Dewan Rakyat petang ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata usul itu dibenar dibahaskan di Kamar Khas selepas mendapati perkara itu memenuhi tiga syarat iaitu perkara yang tertentu, bagi kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

Usul itu dikemukakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) supaya merundingkan laporan penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan bernilai RM10 bilion berikutan desakan kerajaan Malaysia menaikkan bayaran dividen syarikat itu sebanyak RM25 bilion pada 2021.

“Perkara ini (penjualan aset gas di Azerbaijan)…adalah berbahaya dan menjejaskan masa depan Petronas. Tindakan seperti ini telah menyebabkan JP Morgan mengeluarkan Petronas daripada ESG Emerging Market and Bond Index dan ESG Asia Credit Index.

“Perkara itu perlu disegerakan kerana Petronas mengalami defisit berikutan pembayaran dividen berlebihan sejak 2018 sehingga kini yang memaksa Petronas menjual aset atau meminjam lebih banyak dana luar negara bagi menampung aliran tunai.

“Petronas institusi penting kepada ekonomi negara dan sewajarnya diperkukuh kekuatannya dan tidak dilemahkan penarafan syarikat, kemampuan untuk melabur bagi menjana masa hadapan yang mampu membayar dividen yang munasabah kepada kerajaan demi kepentingan rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, Anwar mencadangkan agar usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan 18 (2) itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Azhar memutuskan usul itu perlu dibahaskan di Kamar Khas, menyebabkan Anwar bangun mencelah dengan menegaskan keperluan untuk membahaskannya di Dewan Rakyat walaupun dengan masa yang singkat memandangkan ia berkaitan kesan kepada ekonomi negara, pendapatan dan masa depan Petronas.

“Oleh demikian, sepatutnya hal yang menyentuh kepentingan negara dan kepentingan ekonomi negara yang diakui sendiri maka sewajarnya Dewan (Rakyat) sepatutnya membahaskan,” kata Anwar.

Azhar kemudiannya menjelaskan tiada perbezaan sekiranya membahaskan di Kamar Khas atau di dewan memandangkan keduanya mempunyai prosiding sama yang boleh dilihat oleh orang ramai, dirakam serta direkodkan melalui hansard dewan.

“Saya sudah putuskan untuk diadakan di Kamar Khas sebab kita ada urusan lain di Dewan ini… ada dua rang undang-undang yang agak besar untuk dihabiskan pada hari ini, maka seperti amalan biasa saya luluskan di Kamar Khas,” kata Azhar.