Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersama dengan Umno atau tidak, PAS tetap bersedia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN MELAKA | Sama ada kekal bekerjasama dengan Umno atau sebaliknya, PAS sudah membuat persediaan sewajarnya, kata salah seorang pemimpin parti itu hari ini.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pada dasarnya mereka mahukan "ketiga-tiga parti" yang membentuk kerajaan pusat sekarang bersama dalam PRN pada bulan depan.

Katanya sebarang perpecahan dalam kalangan parti berkenaan - Umno, PAS dan Bersatu - hanya akan menggembirakan Pakatan Harapan.

PAS juga katanya akan menentukan langkah selanjutnya buat parti itu di Melaka selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat ketetapan muktamad esok.

"Apa pun keputusan MKT Umno pada Khamis ini akan menentukan segalanya, seperti jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh PAS, bentuk muafakat politik dan penyusunan jentera pilihan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Status hubungan di antara PAS dengan Umno - yang sebelum ini dimeterai melalui Muafakat Nasional - masih menjadi tanda tanya menjelang hari penamaan calon PRN Melaka pada 8 Nov ini.

Di sebalik hubungan tersebut, PAS juga menjadi anggota komponen Perikatan Nasional yang ditunjangi Bersatu - sebuah parti serpihan Umno.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menegaskan rancangan parti itu - serta BN - untuk bergerak secara solo mendepani PRN Melaka. Bersatu pula sudah menyatakan pendirian mereka yang bersedia meletakkan calon di semua 28 kerusi yang dipertandingkan.

Gambar fail

Bagaimanapun beberapa kenyataan pimpinan Umno di bawah Ahmad Zahid membayangkan bahawa mereka cenderung untuk terus bekerjasama dengan Bersatu bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru bersama Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod PH merupakan parti yang mentadbir Melaka selepas mendapat mandat dalam PRU ke-14 pada 2018 sebelum berlaku Langkah Sheraton yang menyaksikan perubahan kerajaan negeri.

Bagaimanapun hayat kerajaan negeri itu tidak bertahan lebih lama selepas empat Adunnya menarik balik sokongan mereka kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali baru-baru ini.

Ekoran kehilangan sokongan majoriti speaker yang juga Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh kemudian mengumumkan pembubaran DUN bagi membuka kepada PRN. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 20 Nov ini sebagai hari mengundi.

Semalam Pemuda Umno berpendapat kerjasama berkenaan kini bergantung kepada PAS

MKT Umno dijangka bermesyuarat sekali lagi esok untuk memuktamadkan pendirian mereka berhubung PRN Melaka.

Menurut Tuan Ibrahim PAS berpendapat Umno, PAS dan Bersatu wajar terus bersama untuk melalui PRN Melaka.

"Namun PAS bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya.