Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tiru semua Bajet PH pun tak apa'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan berbesar hati sekiranya kerajaan persekutuan menerima pakai cadangan mereka dalam dokumen strategi Belanjawan 2022 yang baru dilancarkan gabungan itu.

Pada sidang media di parlimen selepas melancarkan dokumen itu hari ini, tiga ahli parlimen PH yang terlibat dalam dialog dengan Kementerian Kewangan bagi Belanjawan 2022 berkata, kebanyakan cadangan mereka diterima secara prinsip.

"Tiru semua pun tak apa. Kami telah memberi mereka hak itu," kata Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata sama ada Kementerian Kewangan akan melaksanakan perkara itu hanya akan diketahui pada Jumaat ini.

Kerajaan berjanji melakukan rundingan Belanjawan 2022 dengan PH sebagai sebahagian daripada perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) bagi memastikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak ditumbangkan.

Dokumen Belajawan 2022 PH akan menjadi panduan kepada ahli-ahli parlimennya ketika membahaskan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan Jumaat ini. 

Gabungan itu tidak menawarkan belanjawan alternatif.

Secara umumnya, strategi PH adalah untuk menyuntik dana RM45 bilion Covid-19 bagi membantu pemulihan ekonomi, menangani era pasca pandemik, membantu golongan miskin dan memulihkan mata pencarian.

PH juga mencadangkan reformasi institusi untuk menyediakan lebih banyak dana kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen dan menyediakan lebih banyak dana untuk kerajaan negeri.

Gabungan itu juga mencadangkan pemberian wang tunai khas untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan bantuan kepada pusat penjagaan kanak-kanak.

Pada masa ini, terdapat sembilan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk meneliti kementerian tertentu.

Bagaimanapun, terdapat sembilan kementerian yang tidak memiliki mana-mana jawatankuasa pilihan khas.

Semasa taklimat mengenai dokumen strategi sebelum ini, Pua menjelaskan bahawa jawatankuasa pilihan khas pada masa ini tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi dan sekurang-kurangnya dua pegawai penyelidik diperlukan bagi setiap satu jawatankuasa berkenaan.

Dia juga menggesa kerajaan memastikan pendengaran  jawatankuasa pilihan khas parlimen dapat disiarkan secara langsung.

Tambahnya, jawatankuasa pilihan khas merupakan salah satu alat semak dan imbang yang terbaik.

“Kami menggesa Kementerian Kewangan memastikan jawatankuasa pilihan khas dibiayai secukupnya bagi memastikan mereka mempunyai lebih banyak ‘taring’ untuk melaksanakan tugas mereka.

“Kami tidak mahu lagi ‘cakap-cakap kedai kopi’ yang tidak menghasilkan perubahan,” katanya.