Skip to main
Logo Malaysiakini

PH cadang peruntukan negeri ikut kepala RM20 seorang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kerajaan pusat menyelaraskan peruntukan kepada negeri-negeri mengikut jumlah penduduk pada tahap RM20 seorang.

Perkara itu antara cadangan reformasi fiskal yang dikemukakan menjelang pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat ini.

Dalam dokumen itu, kata PH, purata peruntukan berada pada tahap RM13.61 dan berbeza mengikut negeri.

PH turut berkongsi anggaran peruntukan dibuat mereka dengan Perlis menerima bantuan ikut kepala paling tinggi (RM34.40 seorang) manakala Selangor menerima peruntukan paling rendah (RM12.19). (Carta di bawah)

 Anggaran peruntukan negeri ikut kepala

Menurut PH, kadar semasa ikut kepala berdasarkan struktur kadar bertingkat sekarang menyebabkan negeri mempunyai populasi tinggi menerima pemberian ikut kepada yang lebih rendah.

“Meningkatkan purata pemberian ikut kepala per kapita kepada RM20 untuk setiap negeri di paras bawah tersebut dapat memastikan pengagihan dan layanan saksama di seluruh negara.

“Ini akan menghasilkan peruntukan tambahan dengan anggaran sebanyak RM200 juta,” menurut dokumen itu.

Bawah jadual kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, kadar semasa untuk pemberian ikut kepala adalah seperti berikut:

- Bagi setiap 100,000 orang pertama mengikut kadar RM72.00 seorang;
- Bagi 500,000 orang yang berikutnya mengikut kadar RM10.20 seorang;
- Bagi 500,000 orang yang berikutnya mengikut kadar RM10.80 seorang;
- Bagi yang selebihnya mengikut kadar RM11.40 seorang.