Skip to main
Logo Malaysiakini

Penangguhan MA63: Tiada masalah besar, kata Abang Johari

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tiada masalah besar yang berbangkit susulan penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan Perlembagaan Malaysia selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya beliau dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penangguhan itu dibuat bagi membolehkan Peguam Negara (AG) menjelaskan lebih lanjut cadangan pindaan kepada anggota Kabinet.

“Tiada masalah, saya difahamkan oleh Wan Junaidi terdapat beberapa perkara (yang perlu penjelasan) seperti Perkara 160 mengenai definisi persekutuan. Mereka hanya mahukan penjelasan mengenai perkara tertentu, itu sahaja.

“Tiada masalah besar, ia hanya soal berkaitan pemahaman dan penjelasan oleh AG,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu majlis di Kuching, hari ini.

Pada 25 Okt lalu, Wan Junaidi dilaporkan berkata Kabinet akan menetapkan tarikh baharu untuk pembentangan rang undang-undang tersebut.

Menurut Wan Junaidi penangguhan itu susulan tiada kata sepakat dicapai mengenai cadangan pindaan terhadap beberapa artikel berkaitan Perlembagaan Persekutuan semasa sesi perbincangan pada 24 Okt lalu yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Rang undang-undang berkenaan sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat semalam (26 Okt), diikuti bacaan kali kedua pada 28 Okt.

Tarikh baharu bacaan kali pertama rang undang-undang itu akan ditetapkan selepas taklimat daripada Peguam Negara berhubung perkara berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat (29 Okt) ini.

- Bernama