Skip to main
Logo Malaysiakini

Jualan aset Petronas di Azerbaijan bukan keputusan politik - Tok Pa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN l Keputusan penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan adalah berdasarkan penilaian komersial jangka masa panjang serta pemampatan kos untuk menjamin daya tahan dan kecemerlangan operasi serta komersial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia sebahagian daripada usaha penilaian semula aset dan portfolio perniagaan Petronas yang dilaksanakan secara berterusan.

“Langkah-langkah ini perlu diambil bagi mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh. Dalam hal ini, bukan sahaja aset di Azerbaijan yang terlibat, malah aset-aset lain yang telah memenuhi potensinya turut diberi pertimbangan sama ada untuk dijual atau untuk dikurangan pemilikan aset.

“Keputusan yang diambil oleh Petronas juga adalah bertepatan dengan strategi kumpulan untuk memastikan portfolio huluan yang berfokus, berdaya saing dan mampan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab usul Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai laporan bahawa Petronas telah menjual aset gas di Azerbaijan hampir RM10 bilion berikutan desakan kerajaan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan pada 2021.

Mustapa menegaskan keputusan penjualan itu juga bukanlah atas desakan politik.

Menurutnya aset di Azerbaijan telah dikenal pasti sebagai antara aset untuk dijual sejak 2019.

Bagaimanapun, beliau berkata proses jualan adalah mengambil masa untuk memastikan harga penjualan aset dapat memberikan nilai yang wajar dan berpatutan dan hanya dapat dilaksanakan pada 2021.

“2020 adalah tahun yang amat mencabar dan penjualan aset di Azerbaijan pada tahun lepas sudah pasti tidak sesuai,” katanya.

Katanya penjualan aset itu juga selari dengan strategi tiga serampang Petronas iaitu memaksimumkan penjanaan aliran tunai, mengembangkan perniagaan teras dan menceburi sektor perniagaan baharu.

Mengenai pembayaran dividen Petronas kepada kerajaan Persekutuan, Mustapa berkata ia dilakukan berdasarkan penilaian yang teliti oleh lembaga pengarah syarikat dan pembayarannya adalah berdasarkan keadaan dan prestasi kewangan semasa.

“Kelulusan bayaran dividen RM18 bilion pada Feb 2021 adalah berdasarkan prestasi dan pasaran pada 2020 yang berakhir Dis 2020.

“Jumlah ini adalah lebih rendah daripada tahun sebelumnya kerana impak daripada pasaran yang amat lemah dan harga minyak mentah global yang rendah akibat pandemik COVID-19.

“Kelulusan dividen tambahan RM7 bilion yang telah dibuat pada Julai 2021 pula adalah berdasarkan kemampuan dan unjuran prestasi pasaran minyak yang lebih baik bagi 2021,” tambahnya.

Selain itu, Mustapa berkata saingan pasaran di Eropah adalah sangat kompetititif dengan Rusia menguasai landskap gas di Eropah dan ini menimbulkan banyak masalah, sekali gus menjadi antara sebab Petronas telah menjual aset di Azerbaijan itu kepada syarikat Rusia.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini, purata harga Brent adalah kira-kira US$69 setong berbanding purata US$64 setong pada 2019. Malah, ia pernah jatuh mendadak sehingga US$17.32 setong pada 21 April 2020.

Menurutnya Petronas telah meraih keuntungan bersih yang lebih tinggi berjumlah RM9.3 bilion pada suku pertama 2021 berbanding RM4.5 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas, disokong oleh pemulihan harga minyak dan gas sejak penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan pendapatan syarikat.

Katanya keuntungan bersih lebih tinggi itu juga sejajar dengan kos keseluruhan lebih rendah yang ditanggung oleh kumpulan.

“Saya ingin menegaskan realitinya Petronas mampu membayar dividen sebanyak RM25 bilion dan komited untuk terus menyumbang kepada negara dan masyarakat.

“Bagi memastikan komitmen ini tercapai, Petronas telah membuktikan kemampuan untuk menghasilkan aliran tunai yang kukuh.

“Petronas akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin masa depan Malaysia yang lebih bersih, inovatif dan kompetitif sejajar dengan aspirasi Petronas bagi misi pelepasan karbon sifar bersih 2050,” katanya.

- Bernama