Najib saman bekas AG, penerbit buku kerana 'petik' Altantuya
Bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan saman fitnah terhadap Tommy Thomas dan sebuah syarikat yang menerbitkan buku bekas peguam negara itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, Najib memberitahu mahkamah bahawa Thomas telah mencadangkan dalam buku "My Story: Justice in the Wilderness", bahawa dia secara langsung terkait dengan Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Najib berkata, Thomas melalui buku itu menyindir dia bersalah atas konspirasi untuk membunuh Altantuya, selain mengelirukan rakyat berhubung episod itu dan oleh itu tidak layak memegang jawatan politik atau mana-mana jawatan.
Najib juga berkata Thomas telah menulis dalam bukunya bahawa dia mempunyai agenda untuk membunuh Altantuya dan didakwa mempengaruhi Sirul semasa bekas anggota polis itu ditahan di Australia.
Kata Najib perkataan-perkataan itu antara lain ditulis dengan niat jahat, untuk menimbulkan keraguan dan ketidakpercayaan.
"Defendan pertama telah menulis Bab 42 dengan cara yang menghasut, melulu, sensasi dan fitnah yang, dengan sendirinya dibuat tanpa sebarang asas fakta mahupun mendedahkan sumber," hujah Najib.
Selain itu, Najib mendakwa Thomas berada di belakang konspirasi untuk memenjarakannya.
Najib berhujah bahawa Thomas berpihak dalam politik dan disenangi oleh pemimpin Pakatan Harapan iaitu Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim, namun mempamerkan sikap berat sebelah terhadap Umno dan BN semasa menjadi peguam negara.
“Oleh itu, defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai peguam negara untuk mencari dan mencipt ‘bukti’ terhadap plaintif berhubung pembunuhan Altantuya.
"Seluruh motif defendan pertama adalah untuk membawa tuduhan membunuh terhadap plaintif secara menyalahi undang-undang, kerana pertuduhan seperti itu hampir pasti akan dilakukan tanpa jaminan ditawarkan kepada tertuduh," katanya.
Sehubungan itu, Najib menuntut ganti rugi pada kadar faedah 5 peratus setahun daripada tarikh saman difailkan, selain menuntut permohonan maaf.
Dia juga memohon perkataan dan petikan fitnah daripada buku itu dipadamkan, serta injunksi tetap terhadap sama ada Thomas atau penerbit Gerak Budaya daripada terus menerbitkan kenyataan serupa.
Najib diwakili oleh Tetuan Shafee and Co.
Ini adalah saman kedua Najib terhadap Thomas berhubung buku berkenaan.
Semalam, Najib memfailkan saman terhadap Thomas atas pendakwaan secara salah, berdasarkan kandungan buku itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai