Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Belanjawan 2022 dan transformasi parlimen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Pada 13 Sept lalu kerajaan pusat dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan pembaharuan parlimen dan usaha ini perlu dilaksanakan dalam kadar segera.

Antara pembaharuan tersebut ialah mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) 1963, peruntukan saksama kepada semua ahli parlimen, memberi kemudahan sewajarnya kepada ketua pembangkang, dan menstrukturkan semula sistem Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK).

Setakat ini, beberapa perkara telah dilaksanakan dan selebihnya masih dalam perbincangan.

Hakikatnya, transformasi parlimen kian mendapat tempat dalam diskusi awam. Tekanan dan manipulasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin ke atas parlimen sewaktu pandemik mencipta desakan yang kuat daripada rakyat untuk mengembalikan martabat institusi ini.

Tetapi, agak janggal sekiranya perubahan itu tidak datang dengan komitmen kewangan yang besar bagi membina semula sistem demokrasi berparlimen yang hampir lumpuh ketika pandemik.

Persoalannya, sejauh manakah Belanjawan 2022 dapat merealisasikan perubahan parlimen seperti yang diharapkan?

Nilai yang menguntungkan rakyat

Dengan komitmen kerajaan Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan MOU Transformasi dan Kestabilan Politik, Belanjawan 2022 perlu membawa paradigma baru yang lebih kukuh dan berautonomi dalam menguruskan hal ehwal parlimen secara bebas.

Matlamat ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkenalkan semula PSA yang memberi kuasa kepada parlimen bergerak bebas tanpa campur tangan pihak eksekutif.

Ini bermaksud, parlimen mempunyai hak untuk menentukan perbelanjaan kewangan dan tadbir urusnya sendiri, termasuklah mengaji kakitangan atau melaksanakan program bagi memperkukuh fungsi parlimen.

Ia amat berbeza dengan situasi hari ini apabila pengurusan parlimen diletakkan dibawah seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Kuasa ini akan diberikan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan mentadbir parlimen secara bersama selepas PSA dilaksanakan.

Dari sudut yang berbeza, pelaksanaan PSA ini mempunyai nilai ekonomi yang menguntungkan rakyat. Dengan adanya autonomi kewangan, parlimen mempunyai kebebasan untuk membelanjakan dananya sendiri, termasuklahh mengaji kakitangan.

Bayangkan, jika parlimen berhasrat untuk memperluas bahagian penyelidikan dan pembangunannya, ramai anak muda serta tenaga pakar dalam pelbagai bidang boleh diambil menjadi kakitangan bagi memperkukuh kajian dasar dan membantu ahli parlimen dalam sistem JPK.

Penambahan peruntukan buat parlimen juga penting untuk menyokong kerja-kerja JPK. Jika Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dianggarkan menerima RM1.5 juta setahun untuk menjalankan tugasnya, maka JPK perlu mendapat peruntukan yang sama, sekurang-kurangan RM 1 juta setahun bagi setiap JPK.

Dengan adanya sembilan JPK di Dewan Rakyat dan tiga lagi di Dewan Negara, parlimen sekurang-kurangnya memerlukan lebih RM12 juta setahun untuk menyokong kerja-kerja JPK di parlimen. Ini tidak termasuk peruntukan kawasan parlimen bagi setiap wakil rakyat dalam membantu masyarakat di peringkat kawasan.

Saya menjangkakan parlimen Malaysia mendapat peruntukan sekurang-kurangan RM500 juta dalam Belanjawan 2022, yakni dua kali ganda lebih besar daripada peruntukan Belanjawan 2021 sebanyak RM145.3 juta. Ia adalah peruntukan realistik bagi memulakan usaha mereformasi parlimen.

Lebih besar dari peruntukan parlimen

Ada segelintir pihak yang melihat pelaburan dalam institusi parlimen adalah satu pembaziran dan tidak memberi manfaat langsung kepada rakyat, sebaliknya cuma menguntungkan ahli parlimen sahaja.

Persepsi ini tidak tepat dan berpandukan asas yang lemah.

Sebenarnya, peruntukan parlimen dalam setiap belanjawan tahunan kerajaan adalah lebih rendah berbanding kementerian yang ada. Contohnya, dalam Belanjawan 2021, peruntukan Kementerian Belia dan Sukan berjumlah RM326.4 juta lebih tinggi berbanding peruntukan parlimen sebanyak RM145.3 juta.

Justeru, tidak tepat sama sekali menyatakan parlimen mempunyai dana yang besar setiap tahun.

Malah, peruntukan “program pembangunan” di bawah kuasa perdana menteri dalam Belanjawan 2021 adalah sebanyak RM500 juta, iaitu tiga kali ganda lebih besar daripada peruntukan parlimen.

Limitasi kewangan ini menjadi faktor parlimen tidak dapat berfungsi dengan baik dan mampu bebas daripada cengkaman jemaah menteri.

Fakta-fakta ini adalah realiti sebenar kedudukan parlimen dalam belanjawan kerajaan. Kerajaan lebih gemar menyalurkan dana dalam program politik yang menguntungkan parti pemerintah.

Contohnya, Belanjawan 2021 menyalurkan RM8.8 juta bagi menubuhkan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) untuk mengaji 288 orang ahli politik PN bagi menyampaikan propaganda kerajaan di kawasan pembangkang.

Amalan menyalurkan peruntukan kepada program politik yang menjejaskan sistem demokrasi negara dan menguntungkan sebilangan kecil pihak tertentu perlu dihentikan. Lebih baik jika peruntukan itu digunakan untuk pembaharuan institusi parlimen agar parlimen benar-benar berfungsi mencari solusi yang membawa impak positif kepada kesejahteraan rakyat.

Malah, peruntukan khusus kepada ahli parlimen boleh digunakan bagi membangunkan kesejahteraan rakyat di kawasan mereka, termasuk membantu golongan yang memerlukan.

Dengan peruntukan parlimen yang setimpal, ia juga boleh mengendurkan keghairahan ahli parlimen membuat percaturan politik yang tidak berintegriti sambil memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas hakiki mereka.

Bukankah ini satu tawaran yang baik?

Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Okt ini perlu menjadi pencetus kepada pembaharuan parlimen yang berdaya tahan dan demokratik.

Reformasi parlimen ialah agenda nasional yang harus dibincang secara aktif dan melangkaui politik kepartian. Jika usaha ini berjaya, maka sokongan rakyat terhadap kerajaan sedia ada tentunya akan meningkat.

Jika tidak, kemampuan Ismail Sabri membawa transformasi politik tentunya akan dipertikai oleh rakyat, khususnya kejujuran kerajaan persekutuan menandatangani MOU Transformasi dan Kestabilan Politik.


FAKHRURRAZI RASHID ialah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.