Skip to main
Logo Malaysiakini

98 kematian akibat Covid-19 dilapor semalam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Repositori data Github Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 98 kematian Covid-19 semalam (27 Okt), menjadikan jumlah kumulatif kematian 28,674 setakat ini.

Malaysia mempunyai jumlah kematian per kapita tertinggi di Asean serta Asia Timur dengan 871 kematian bagi setiap juta penduduk.

Daripada jumlah kematian yang baru dilaporkan semalam, 32.7 peratus atau 32 meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Sarawak mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu 29, membentuk 29.6 peratus daripada kematian baru yang dilaporkan.

Kes kematian lain dilaporkan di Perak (11), Kelantan (10), Johor (9), Sabah (9), Kuala Lumpur (6), Melaka (5), Kedah (4), Pahang (4), Negeri Sembilan (3 ), Pulau Pinang (3), Terengganu (3), Perlis (1) dan Selangor (1).

Tiada kematian baru dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 80 daripada 98 kematian yang dilaporkan atau 81.6 peratus berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Baki kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 99 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam 30 hari terakhir berbanding purata tujuh hari sebanyak 77, menunjukkan trend menurun.

Sehingga kini, 2,466 kematian Covid-19 telah dilaporkan pada bulan ini.

Sebanyak 9,680 kematian Covid-19 dilaporkan pada September, 7,642 pada Ogos, 3,858 pada Julai dan 2,380 pada Jun.

Sehingga semalam, terdapat 71,713 kes aktif Covid-19. Ini adalah pengurangan sebanyak 13.8 peratus daripada 83,223 jangkitan aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 59.6 peratus daripada 177,561.

Jangkitan berkaitan kluster

Kemas kini selepas tengah malam Kementerian Kesihatan juga memberikan maklumat lanjut mengenai jangkitan baharu Covid-19 semalam.

Daripada 6,148 kes baru semalam, sebanyak 200 daripadanya boleh dikesan kepada kluster Covid-19 yang masih berterusan.

 

Daripada kes berkaitan kluster, 148 (74 peratus) adalah dari tempat kerja manakala 30 (15 peratus) adalah daripada penularan komuniti.

Empat belas lagi (7 peratus) adalah daripada kluster yang dikaitkan dengan institusi pendidikan.

Baki kes dikesan pada kluster yang berkaitan dengan acara keagamaan (5 - 2.5 peratus) dan kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua (3 - 1.5 peratus).

Statistik kematian kini dikeluarkan selepas tengah malam bersama dengan data lain yang lebih terperinci. Malaysiakini melaporkan pada waktu pagi.