SPRM siasat 205 syarikat terlibat dakwaan seleweng dana Mitra
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti rekod 205 entiti yang menerima dana daripada agensi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Menurut sumber dalaman, suruhanjaya itu mengesyaki banyak syarikat telah membuat dakwaan palsu, termasuk membuat laporan berkenaan program dan kegiatan yang pernah diadakan.
Bagaimanapun siasatan terhadap 205 organisasi dan syarikat itu hanyalah permulaan.
Seorang sumber yang tahu tentang siasatan itu memberitahu Malaysiakini yang pada masa ini, penyiasat baru mula melihat entiti yang menerima dana antra RM1 juta sehingga RM9 juta.
"Kita fokus kepada syarikat (dan organisasi) yang menerima peruntukan RM1 juta ke RM9 juta dahulu. (Peruntukan) paling besar adalah RM9 juta.
"(Entiti) yang terima bawah RM1 juta lagi banyak. Jadi kita akan semak, siasata penerima-penerima ini dan nak pastikan (mereka) buat atau tak buat program (seperti yang dinyatakan dalam laporan," kata sumber itu yang enggan dinamakan.
Mitra ditubuhkan pada 2017, ketika itu dikenali sebagai Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (Sedic). Ia kemudian distruktur dan dijenamakan semula ketika pentadbiran PH pada 2018.
Peranan utama unit itu adalah untuk mengenal pasti isu yang dihadapi masyarakat India, menjalani kegiatan pembangunan sosioekonomi dan menyelaraskan kerjasama awam-swasta ke arah pembangunan masyarakat itu.
Menurut laporan Bernama sebelum ini, Mitra dianggarkan menerima peruntukan RM100 juta setahun daripada kerajaan.
'Lebih ramai akan ditahan'
SPRM setakat ini telah menahan 17 individu yang terlibat dengan entiti yang sedang disiasat.
Tangkapan terbaru adalah pada Selasa lalu, melibatkan pemilik sebuah syarikat yang disyaki menghantar laporan palsu.
"Kita syak syarikat ini tidak anjur pun program yang sepatutnya mereka anjurkan, walaupun menyatakannya dalam laporan.
"Dia kini direman lima hari," kata sumber.
Menurut beberapa sumber, SPRM juga dijangka memanggil seorang pegawai berpangkat tinggi di Mitra, yang disyaki mempunyai kepentingan peribadi dalam beberapa syarikat yang disiasat.
"Penyiasat akan panggil pegawai itu untuk rakam kenyataannya tak lama lagi."
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki (gambar) ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbaru itu.
Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentangnya.
Ketika ditanya jika SPRM menjangka akan membuat lebih banyak tangkapan, Azam berkata: Saya tak menolak kemungkinan lebih ramai (ditahan) lepas ni."
Pada Selasa lalu, Bernama melaporkan SPRM menanahan 16 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan dana Mitra.
Laporan itu memetik sumber sebagai berkata, mereka disyaki menyalahgunakan puluhan juta dana yang diperuntukkan untuk program sosioekonomi masyarakat India.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai