Skip to main
Logo Malaysiakini

BN akur kena kompaun, akui pergerakan di luar dewan 'di luar kawalan'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

BN akur dengan kompaun berjumlah RM10,000 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) ekoran acara pelancaran jentera PRN Melaka, yang diadakan di Kuala Lumpur malam tadi.

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir berkata, kehadiran jemputan acara itu telah mengambil kira kapasiti 50 peratus daripada keluasan dewan acara, pergerakan di luar dewan di luar bidang kuasa penganjur.

"Namun pergerakan di luar dewan yang ramai adalah di luar bidang kawalan pihak penganjur.

"Bagaimanapun sebagai parti yang berpegang dan patuh kepada prinsip undang-undang, maka BN akan membayar kompaun berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, menerusi kenyataan ringkas di Facebook berkata kompaun dikeluarkan oleh pejabat kesihatan di Kepong kepada setiausaha eksekutif BN kerana melanggar prosedur operasi standard kerajaan untuk acara sosial.

"Pejabat Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun di bawah Akta 342 kepada Barisan Nasional malam ini kerana telah melanggar SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara bagi penganjuran majlis sosial," kata kementerian itu.

Dalam pada itu, Zambry berkata sementara BN menghormati arahan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkenaan larangan terhadap perhimpunan yang berkaitan dengan PRN, ia hanya melibatkan acara di Melaka.

"Maka majlis pelancaran jentera BN yang sepatutnya diadakan di Melaka telah dipindahkan ke World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL).

"Pemilihan lokasi di WTCKL dibuat memandangkan Kuala Lumpur sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membolehkan perhimpunan diadakan dengan kapasiti kehadiran 50 peratus daripada keluasan dewan acara," katanya lagi.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, acara semalam dihadiri sekurang-kurangnya beberapa ratus ahli dan pemimpin BN dari pelbagai negeri.

Kerusi di dua dewan disusun mengikut keperluan penjarakan fizikal dan penganjur berulang kali membuat pengumuman agar semua hadirin, terutama kalangan yang berlegar di luar, untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh menyampaikan ucaptama, disusuli dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebagai pengarah pilihan raya BN untuk PRN Melaka, serta presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir adalah pemimpin MCA, MIC dan PBRS selaku komponen BN.