Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN Melaka: PH dijangka umum agihan kerusi, penggunaan logo esok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke menyangkal laporan bahawa parti-parti komponen PH Melaka masih tidak mencapai kata sepakat dalam rundingan kerusi bagi Pilihan PRN Melaka bulan depan.

Perkara sama turut dinyatakan beberapa sumber PH yang dihubungi Malaysiakini, yang berkata agihan kerusi akan diumumkan esok.

Menurut Loke, pengagihan kerusi khususnya melibatkan DUN Paya Rumput dan Asahan telah selesai.

“Sumber yang dipetik oleh Malaysiakini bukan maklumat terbaru. Kerusi yang bakal ditandingi oleh komponen PH telah dimuktamadkan dalam mesyuarat dihadiri pucuk pimpinan PH malam tadi.

“Pengumuman akan dibuat esok,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dia merujuk laporan Malaysiakini hari ini yang memetik sumber PKR sebagai berkata agihan tersebut masih belum selesai, khususnya untuk kerusi DUN Paya Rumput dan Asahan.

Menurut sumber itu, PKR dan DAP masih merebut kerusi Paya Rumput sementara ketiga-tiga parti - termasuk Amanah - dikatakan berminat untuk bertanding di DUN Asahan menjelang pada PRN Melaka yang dijadual diadakan pada 20 November ini.

Untuk rekod, kerusi Paya Rumput ditandingi PKR sejak 2008 sebelum diserahkan kepada Bersatu pada 2018.

Wakil Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen menang kerusi tersebut dengan mengalahkan calon Umno dan PAS pada PRU14.

Manakala, secara tradisinya PAS yang mewakili pembangkang menentang BN di DUN Asahan sebelum PH menyerahkan kerusi tersebut kepada Bersatu susulan keputusan PAS untuk meninggalkan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, sumber PH juga berkata gabungan itu telah memuktamadkan pengagihan kerusi serta logo yang akan digunakan, dan ia dijangka akan diumum esok.

Malaysiakini difahamkan yang pemimpin tertinggi PH telah membuat keputusan untuk menggunakan logo gabungna itu dalam mesyuarat malam tadi, setelah beberapa siri rundingan sejak beberapa minggu lalu.

Seorang sumber yang tahu tentang perkara itu berkata, kepimpinan pusat PH akan mengumumkan keputusannya esok.

Seorang lagi sumber turut mengesahkan perkara itu, dan berkata pengumuman esok turut melibatkan pengagihan kerusi.

Beberapa pihak dalam PKR sebelum ini menggesa logo parti itu digunakan calon PH dalam PRN Melaka, sama seperti ketika PRU lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebelum ini berkata PH akan menggunakan logo rasmi gabungan itu.